PM Guru teroka kerjasama strategik bernilai tinggi bersama Keralam


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim atau 'PM Guru' menzahirkan kesediaan Malaysia untuk memperluas jaringan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor bernilai tinggi bersama negeri Keralam di India.
Hasrat tersebut dizahirkan ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Keralam, V. D. Satheesan di Kozhikode petang semalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kedua-dua pemimpin turut meneroka peluang memperluas pertukaran rakyat dengan rakyat (people-to-people exchanges), rangkaian perniagaan dua hala serta sektor pendidikan.
"Kerjasama lebih erat dalam ekonomi digital, penjagaan kesihatan, pelancongan, pendidikan serta sektor-sektor bernilai tinggi mampu memberi limpahan manfaat ekonomi secara langsung kepada kedua-dua pihak
"Pertemuan juga memberi tumpuan kepada usaha memudah cara dan memperkukuh aktiviti perdagangan serta pelaburan rentas sempadan antara komuniti perniagaan Malaysia dan Keralam," kata kenyataan itu.
Sesi berkenaan melengkapkan siri lawatan kerja Perdana Menteri di India, sebelum beliau dijadual berlepas ke Malé pada jam 6.15 malam waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi ke Republik Maldives.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Satheesan untuk mengadakan lawatan ke Malaysia bagi mempererat hubungan persahabatan serta mempercepat pelaksanaan inisiatif yang dipersetujui.




Comments