PM gesa AS-Iran redakan ketegangan demi keamanan global
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Amerika Syarikat (AS) dan Iran agar segera meredakan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, keadaan geopolitik di Timur Tengah sememangnya rapuh dan sebarang peningkatan retorik serta penempatan aset ketenteraan hanya akan mengecilkan ruang rundingan yang amat diperlukan ketika ini.
"Sebarang konfrontasi antara Washington dan Tehran akan membawa padah kepada seluruh Timur Tengah yang kini berada dalam keadaan rapuh. Risiko peningkatan serangan proksi, ancaman keselamatan maritim serta kejutan ekonomi boleh merebak jauh melangkaui rantau tersebut.
"Tiada kepentingan strategik mewajarkan kemusnahan nyawa dan harta benda sedemikian rupa. Imperatif keamanan mesti mengatasi segala pertimbangan lain," katanya menerusi satu kenyataan.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa AS tidak menolak kemungkinan berlakunya campur tangan ketenteraan di Iran, dengan ketibaan amarda kapal tempur kapal induk USS Abraham Lincoln di Timur Tengah, manakala Iran pula berikrar akan bertindak balas terhadap sebarang serangan.
Dalam kenyataan sama, Anwar berkata Malaysia menggesa semua pihak agar berundur daripada ambang konflik dan kembali memberi komitmen penuh kepada usaha diplomasi segera, termasuk memanfaatkan semua saluran komunikasi yang ada.
Beliau turut memuji peranan konstruktif negara Oman dalam memudah cara dialog bagi meredakan ketegangan, selain menggesa negara-negara berpengaruh supaya menggunakan segala pengaruh dan keupayaan mereka demi menjamin kestabilan serantau dan antarabangsa.









Comments