PM dibenar guna kenderaan rasmi waktu kempen atas sebab sekuriti
- Suara Keadilan

- Nov 18, 2025
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjelaskan isu yang dibangkitkan pembangkang berhubung dirinya menggunakan aset kerajaan iaitu pesawat dan kereta rasmi ketika berkunjung ke Sabah baru-baru ini bagi menyertai kempen Pakatan Harapan (PH).
Anwar menegaskan, dalam peraturan kerajaan, seseorang PM atau menteri diberi kelonggaran untuk menggunakan aset kerajaan atas faktor keselamatan.
"Tidak ada program di Sabah (melibatkan) program kerajaan. Kempen saya semuanya kempen atas nama parti, di Parlimen sudah dijawab, kalau begitu saya pakai mobil (kenderaan) mana? Mobil kerajaan, itu diberikan kelonggaran.
"PM mesti guna pasukan keselamatan dan kenderaan rasmi dalam apa program sebab (atas) pertimbangan keselamatan.
"Sebab itu saya gunakan begitu (pesawat kerajaan), tapi program kempen tidak ada program kerajaan, saya melarang," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ahmad Fadhli Shaari [Pas-Pasir Mas] yang meminta penjelasan tentang gambar memaparkan Presiden KEADILAN itu turun daripada pesawat kerajaan dan memakai baju yang tertera logo PH ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan pendiriannya untuk tidak menggunakan bangunan universiti bagi tujuan politik seperti program ‘Temu Anwar’ sebelum ini.
"Ada program masa mahasiswa ‘Temu Anwar’ dibuat di universiti, saya batalkan dan tukar tempat kerana tidak mahu universiti secara rasmi terlibat menganjurkan program demi Anwar dengan anak-anak muda.
"Jadi saya harap YB (Ahmad Fadhli) faham sebab dalam peraturan kerajaan memang seorang PM atau menteri selayaknya menggunakan (aset) kerajaan kerana ini soal keselamatan yang di luar pertimbangan saya," jelas Anwar lagi.









Comments