top of page

PM Anwar - Presiden Minh Aung: Fokus isu warga Myanmar di Malaysia

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
46 minutes ago
2 min read
Isu pelarian Myanmar antara fokus utama pertemuan DS Anwar dan Min Aung Hlaing di Putrajaya
Isu pelarian Myanmar antara fokus utama pertemuan DS Anwar dan Min Aung Hlaing di Putrajaya

Usaha menyelesaikan isu warga Myanmar yang berada di Malaysia secara tidak sah termasuk penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah menjadi antara tumpuan utama pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing di Putrajaya hari ini.


Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin yang berlangsung kira-kira setengah jam sebelum mereka mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala Malaysia-Myanmar.


Perdana Menteri berkata perbincangan secara langsung dengan Presiden Aung Hlaing penting bagi mencari penyelesaian lebih tuntas terhadap isu warga Myanmar di Malaysia yang telah berlarutan sejak sekian lama.


"Saya percaya bahawa perbincangan dan rundingan secara langsung dengan Presiden Aung Hlaing serta pimpinan Myanmar penting untuk mencapai penyelesaian yang lebih tuntas dalam isu pelarian," kata beliau menerusi hantaran di media sosial.


Menurut Anwar, isu itu turut menyentuh soal penghantaran pulang secara sukarela, selamat dan bermaruah tanpa mengira etnik.


Beliau menjelaskan pendekatan selama ini yang mengehadkan ruang dialog tidak membuahkan hasil malah isu berkenaan terus berlarutan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat Malaysia.


"Justeru itu, ruang perbincangan yang berasaskan sikap saling menghormati dan kepercayaan ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengusahakan penyelesaian yang nyata," katanya.


Perkara itu selari dengan pendirian kerajaan sebelum lawatan Presiden Myanmar itu dengan menyatakan usaha pemulangan warga Myanmar daripada semua kumpulan etnik yang berada di Malaysia secara tidak sah akan menjadi antara isu utama yang dibincangkan kedua-dua pemimpin.


Wisma Putra dalam kenyataan pada 6 Oktober lalu berkata proses pemulangan itu perlu dilaksanakan secara sukarela, bermaruah dan selamat selain kedua-dua pemimpin dijangka meneliti usaha yang sedang dilaksanakan melalui mekanisme ASEAN.


Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia sebelum ini melaksanakan fasa pertama penghantaran pulang warga Myanmar dari negara ini termasuk mereka yang ditempatkan di depoh imigresen, sebagai sebahagian daripada usaha menangani isu migrasi tidak teratur.


Proses itu bagaimanapun turut mendapat perhatian berkaitan aspek perlindungan dan keselamatan individu yang dihantar pulang, khususnya susulan konflik serta krisis kemanusiaan yang masih berlaku di Myanmar.


Dalam pertemuan hari ini, Anwar menekankan kepentingan dialog inklusif bagi menjayakan usaha perdamaian dan rekonsiliasi di Myanmar serta menyatakan kesediaan Malaysia untuk memudah cara proses berkenaan ke arah keamanan yang berkekalan.


Perdana Menteri berkata kesejahteraan rakyat perlu menjadi keutamaan khususnya perlindungan orang awam dan akses bantuan kemanusiaan yang selamat kepada semua komuniti terjejas.


Kedua-dua pemimpin turut membincangkan bidang perdagangan, ekonomi, tenaga dan keselamatan, termasuk usaha menangani jenayah rentas sempadan yang memerlukan penyelarasan serta komitmen bersama.


Lawatan Min Aung Hlaing ke Malaysia turut memberi ruang kepada Anwar meneruskan penglibatan secara langsung dengan Myanmar.


"Berpaksikan Diplomasi MADANI, Malaysia akan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme dan saluran yang tersedia, termasuk melalui ASEAN, bagi memperkukuh hubungan dua hala serta menterjemahkan persefahaman ini kepada tindakan nyata demi keamanan Myanmar, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran bersama di rantau ini," jelas Anwar.


Dalam pada itu, menurut Wisma Putra, langkah itu selaras dengan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 pada Mei lalu untuk meneruskan penglibatan yang konstruktif dan berprinsip dengan Myanmar berlandaskan Pemuafakatan Lima Perkara ASEAN (5PC).


Ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, Anwar telah mengadakan dua pertemuan dengan Min Aung Hlaing yang ketika itu bergelar Jeneral Kanan manakala Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan mengadakan lawatan ke Myanmar pada April dan Oktober 2025 serta Mei 2026.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page