PLATS Selangor bantu 5,000 individu hilang kerja jana pendapatan


Program Transisi Kerjaya PLATS (Platform Selangor) diperkenal Kerajaan Negeri berjaya membantu menjana semula sumber pendapatan kira-kira 5,000 individu yang kehilangan pekerjaan akibat konflik global Asia Barat.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, menerusi inisiatif tersebut, individu layak akan dibantu menerusi latihan dan kursus perniagaan, kem keusahawanan serta bantuan pembiayaan kewangan sehingga RM10,000 tanpa faedah.
"MBI bersama Jawatankuasa Tetap Sumber Manusia akan mengenal pasti individu terbabit menerusi data Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Mereka juga akan diakses dengan ekosistem perniagaan PLATS selain turut dibantu dari segi pemasaran dan promosi produk. Peserta juga diberikan bantuan data Internet selama setahun serta elaun perjalanan," katanya dipetik media tempatan.
Transisi Kerjaya PLATS diperkenal menerusi Fasa 2 Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor, bertujuan memberi peluang kepada individu kehilangan pekerjaan untuk menceburi bidang keusahawanan.
Program melibatkan peruntukan berjumlah RM4 juta, membolehkan peserta menjalani latihan dan pendedahan strategi asas perniagaan.
Sementara itu menurut Ahmad Azri, bagi fasa awal, pihaknya mensasarkan 5,000 peserta berusia 40 tahun ke atas memandangkan kesukaran mereka mencari atau dapatkan semula pekerjaan disebabkan faktor umur.
Peserta yang menyertai program tersebut jelasnya akan dipantau dalam tempoh enam bulan bagi melihat prestasi dan sekiranya mereka berminat untuk terus menjadi usahawan, bantuan lain turut akan disalurkan.




Comments