top of page

PKFZ bangkit kembali: 86% ruang terbiar kini kembali digunakan

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang pernah mencetuskan kontroversi besar dalam sejarah negara kerana penyelewengan kerajaan lalu kini menunjukkan pemulihan hasil tadbir urus lebih baik serta kemasukan pelaburan swasta baharu.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (gambar) berkata beberapa aset PKFZ yang terbiar hampir 20 tahun sejak dibina kini berjaya dihidupkan semula menerusi usaha pengurusan baharu menarik pelabur untuk menggunakan kemudahan sedia ada.


Kejayaan terbaru itu antaranya bangunan hotel yang asalnya dirancang dalam pembangunan awal PKFZ tetapi tidak pernah beroperasi sejak dibina.


"Bangunan ini kosong, tidak membawa pulangan kepada PKFZ. Awal tahun ini syarikat Golden Horse, sebuah syarikat pembuatan tayar di PKFZ menyewa keseluruhan bangunan ini.


"Pihak Golden Horse telah membelanjakan hampir RM4 juta untuk kerja ubah suai dan penyelenggaraan bangunan ini, semuanya di bawah kos syarikat," katanya dalam satu rakaman video sidang media yang dimuat naik di media sosial.


Terdahulu beliau merasmikan lima projek baharu di PKFZ yang melibatkan penggunaan semula kemudahan sedia ada dengan nilai pelaburan kumulatif RM566 juta.


Anthony berkata, perjanjian sewaan itu memberikan manfaat jangka panjang kepada PKFZ kerana ia akan menjana pendapatan berterusan selain menghidupkan semula aset yang sebelum ini tidak digunakan.


Selain itu, beliau berkata empat blok bangunan pejabat yang lama tidak dimanfaatkan kini turut diberi nafas baharu, termasuk dua blok yang telah ditukar menjadi Centralised Labour Quarters (CLQ) bagi menempatkan pekerja.


Katanya, kemudahan CLQ itu penting khususnya bagi syarikat yang membuka operasi di PKFZ kerana dapat menyediakan penempatan pekerja yang lebih tersusun.


"Satu blok boleh menempatkan kira-kira 3,000 pekerja dan bangunan itu mengikut piawaian yang ditetapkan. Syarikat yang melabur dan membuka kilang di PKFZ tidak perlu lagi memikirkan masalah penempatan pekerja asing mereka," katanya.


Beliau berkata, pemulihan PKFZ juga penting kerana projek itu masih mempunyai tanggungan kewangan selepas dibangunkan melalui pinjaman berjumlah RM3.8 bilion.


"Setiap tahun kita bayar kira-kira RM200 juta balik kepada Kementerian Kewangan melalui Lembaga Pelabuhan Klang. Tahun lalu, kita berjaya kurangkan beban itu lebih kurang RM100 juta kepada Lembaga Pelabuhan Klang," katanya.


Anthony berkata, kerajaan ketika ini mewarisi cabaran daripada pembangunan PKFZ yang bermula kira-kira dua dekad lalu, namun fokus utama adalah memastikan aset yang ada dapat dimanfaatkan dan menjana pulangan.


"Apabila kita jadi kerajaan, kita lantik lembaga pengarah dan pengurusan di PKFZ. Kita telah mewarisi masalah ini. Cabaran kita ialah bagaimana nak menggunakan aset-aset ini dan menjana kewangan.


"Atas usaha pengurusan baharu, mereka bersungguh-sungguh mencari pelabur dan akhirnya mendapat pelabur besar seperti Golden Horse. Bukan sahaja mereka bina kilang di PKFZ, tetapi mereka juga mengambil bangunan ini sebagai ibu pejabat mereka," katanya.


Sementara itu, Anthony dalam hantaran di Facebook berkata lebih 86 peratus ruang komersial PKFZ yang pernah terbiar hampir dua dekad kini telah diisi semula, manakala hasil tahunan PKFZ mencecah RM108 juta pada 2025.


Beliau berkata perjalanan pemulihan PKFZ masih panjang, namun perkembangan semasa menunjukkan projek berkenaan berada di landasan yang betul.


"PKFZ pernah menjadi antara isu kontroversi yang besar dalam sejarah negara kita tetapi dengan tadbir urus yang baik, ia telah dihidupkan semula dengan pelaburan swasta yang baru," katanya.


Utuk rekod, projek PKFZ pernak kontroversi kerana salah urus dan penyelewengan yang melibatkan beberapa tokoh politik kerajaan yang lalu sehingga menyebabkan anggaran kerugian kerajaan berbilion ringgit, dan menjadi bahan kempen utama Pakatan Harapan dalam sekurang kurangnya dua siri pilihan raya umum.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page