Pindaan RUU Kualiti Alam Sekeliling perkasa hak Sabah, Sarawak
- Azuan Ab Rahman

- Mar 1
- 1 min read

Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat merupakan indikator jelas kesungguhan Kerajaan MADANI memperkukuh hak serta kedudukan Sabah dan Sarawak selaras semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, menerusi pindaan kuasa pengurusan dan kawal selia buangan terjadual di darat serta dalam perairan negeri telah diberikan kepada Sabah dan Sarawak selaras Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan.
"Ia sebahagian daripada 29 tuntutan MA63 yang diperhalusi melalui pelbagai platform rundingan, termasuk Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
"Tuntutan tersebut melalui proses rundingan terperinci, penelitian perundangan serta penyelarasan dasar sebelum diterjemahkan dalam bentuk pindaan undang-undang yang diluluskan di Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan.
Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 dengan sokongan majoriti.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata RUU itu merupakan langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh kerangka perundangan alam sekitar negara selaras dengan prinsip federalisme, tadbir urus baik serta komitmen terhadap pelaksanaan MA63.




Comments