top of page

Pilih PH, tawar peluang pekerjaan, negeri berpendapatan tinggi - Amirudin

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 11
  • 2 min read

Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) menyeru rakyat Johor memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membolehkan gabungan itu melaksanakan agenda pembangunan yang disifatkan mampu menjadikan Johor sebuah negeri berpendapatan tinggi.


Menurut beliau, rakyat Johor memikul tanggungjawab besar untuk menentukan masa depan negeri dan memilih kepimpinan yang mampu membawa perubahan demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat.


"Orang Johor ada tanggungjawab untuk menentukan masa depan kita bersama.


"PH datang dengan tawaran untuk perubahan sebuah negeri, perubahan agar negeri ini jadi lebih baik, kuat, ada pimpinan yang jaga semua rakyat, jadi negeri yang terbaik di Malaysia," katanya dalam ceramah Grand Finale Jelajah "Johor Ke Depan, Undi Harapan" di Pasir Gudang, malam tadi.


Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, dakwaan BN bahawa Johor sudah mencapai tahap pembangunan terbaik tidak selari dengan beberapa petunjuk ekonomi, termasuk data pendapatan per kapita yang menunjukkan negeri itu masih berada di belakang beberapa negeri lain.


"Johor bila kita nak bawa lebih maju apa kata BN, negeri ini dah maju jangan kacau. Tetapi data daripada Jabatan Perangkaan menyebut negeri ini kalah dengan negeri yang lebih kecil.


"Antaranya Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka," katanya.


Beliau berkata, justeru PH menawarkan pelbagai inisiatif termasuk mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baharu sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan menyediakan lebih banyak pekerjaan bergaji tinggi.


Amirudin turut menjadikan pengalaman pentadbiran PH di beberapa negeri sebagai bukti keupayaan gabungan itu meningkatkan prestasi ekonomi.


"Kalau di Selangor dalam lima tahun kita ubah jadi negeri berpendapatan tinggi. Dua penggal di Negeri Sembilan kita ubah (berpotensi) jadi negeri berpendapatan tinggi. Di Pulau Pinang tukar jadi negeri berpendapatan tinggi.


"Orang Johor kalau nak negeri berpendapatan tinggi, tukar Menteri Besar, Exco dari PH, bagi kita peluang ubah negeri ini," katanya yang juga Pengarah Bersama Pilihanraya KEADILAN.


Beliau menegaskan PH tidak sekadar mengemukakan janji, sebaliknya membawa rekod pencapaian yang telah dibuktikan di Putrajaya serta beberapa negeri yang ditadbir gabungan itu.


Dalam pada itu, Amirudin berkata Johor tidak seharusnya bergantung kepada Singapura sebagai destinasi utama rakyat mencari pekerjaan bergaji lumayan, sebaliknya perlu membangunkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti di negeri sendiri.


"Negeri ini tidak boleh jadi pelengkap negara jiran Singapura. Orang kita kerja ke Singapura, bangun pukul 4 pagi.


"Sebab itu kalau kita mampu tawarkan pekerjaan, gaji tinggi, di masa depan anak-anak kita tak perlu ke seberang tambak semata-mata untuk pendapatan tinggi. Johor ada tawaran kerja lebih baik," katanya.


Beliau berkata, sokongan rakyat kepada PH penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri baharu bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan agenda pembangunan dan meningkatkan taraf hidup rakyat Johor.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page