PH utamakan kestabilan politik demi rakyat Johor - Dr Zaliha
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) tidak ketandusan pemimpin yang berkelayakan untuk diketengahkan bagi menerajui Johor sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, keutamaan PH ketika ini bukanlah soal perebutan kuasa sebaliknya memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pentadbiran demi kepentingan rakyat.
Malah tegasnya, melalui kestabilan politik Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri berhasil mencatat prestasi memberangsangkan dengan pelbagai petunjuk ekonomi perkembangan positif yang faedahnya turut dirasai negeri Johor.
"Nilai ringgit semakin mengukuh, kadar pengangguran terus menurun dan negara berjaya menarik pelaburan melebihi RM400 bilion. Ini merupakan pencapaian pentadbiran yang perlu disampaikan kepada rakyat.
"Johor sendiri menerima manfaat besar daripada hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan apabila pelbagai projek pembangunan dengan nilai melebihi RM100 bilion sedang dirancang dan dilaksanakan di negeri ini," katanya.
Dr Zaliha berkata begitu menerusi ucapan di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Batu Pahat Malam tadi.
Menerusi ucapan sama, beliau turut mempersoalkan tindakan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi membubarkan Dewan Negeri sedangkan pentadbirannya mempunyai tempoh berbaki kira-kira setahun lagi.
"Dalam situasi negara masih berdepan ketidaktentuan ekonomi serta cabaran global, biarlah pentadbiran ini berlangsung sehingga tempoh tamat.
"Pilihan raya bukan perkara kecil. Kos penganjurannya boleh mencecah sehingga RM90 juta. Wang sebanyak itu sepatutnya dimanfaatkan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat, bukannya dibelanjakan semata-mata bagi memastikan terus berkuasa," tambahnya.




Comments