top of page

PH tawar peluang kerja, bawa industri pelancongan ke kawasan desa Johor

  • Writer: Hasbul Ahmad
    Hasbul Ahmad
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Potensi ekonomi di kawasan luar bandar Johor perlu dibangunkan secara lebih menyeluruh bagi memastikan peluang pekerjaan di negeri itu tidak hanya tertumpu di kawasan bandar utama seperti Johor Bahru dan Pasir Gudang.


Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, kawasan luar bandar mempunyai pelbagai aset ekonomi yang mampu diketengahkan termasuk sektor pelancongan, produk tempatan serta ekonomi desa yang boleh menjana pendapatan masyarakat setempat.


Katanya, kemudahan perjalanan yang lebih baik membolehkan masyarakat bandar berkunjung ke kawasan luar bandar untuk menikmati produk makanan tempatan dan pengalaman pelancongan desa.


"Sekarang ETS (pengangkutan rel) sudah memberi kemudahan kepada rakyat. Orang boleh datang dari Johor Bahru, perjalanan sekitar satu hingga dua jam untuk menikmati makanan tempatan seperti udang galah, ikan baung di Segamat dan produk setempat sebelum pulang.


"Ini sebenarnya boleh membantu ekonomi setempat. Kalau perkara seperti ini terus dibangunkan, ia mampu memberi kesan besar kepada ekonomi tempatan," katanya dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.


Dr Zaliha berkata, pembangunan ekonomi yang lebih seimbang penting bagi merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.


Beliau berkata, ketika ini pertumbuhan ekonomi negeri lebih banyak tertumpu di kawasan selatan Johor khususnya Johor Bahru dan Pasir Gudang, manakala beberapa daerah lain masih memerlukan perhatian dari sudut pembangunan ekonomi.


"Kita lihat kawasan seperti Kulai sudah mula berkembang dengan kemasukan industri pusat data, tetapi kawasan di bahagian utara dan timur Johor masih perlu diperkasakan," katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang menjelaskan, pembangunan luar bandar bukan sahaja berkait ekonomi, malah mempunyai kaitan rapat dengan isu sosial termasuk penghijrahan golongan muda keluar mencari pekerjaan.


Katanya, jika peluang ekonomi tidak diwujudkan di kawasan asal mereka, daerah seperti Segamat, Sekijang, Muar, Pagoh dan kawasan lain berisiko berdepan perubahan demografi apabila semakin ramai golongan muda berhijrah.


"Apabila anak-anak muda bekerja di luar kerana tiada peluang di kawasan sendiri, ia boleh memberi kesan sosial. Lama-kelamaan sesebuah daerah boleh menjadi daerah yang semakin tua.


"Apabila mahu membangunkan kawasan itu nanti, persoalannya siapa yang akan menjadi pengguna atau pembelinya jika penduduk muda sudah tiada," kata beliau.


Justeru itu, Dr Zaliha berpendapat pendekatan pembangunan negeri perlu mengambil kira kesesuaian setiap kawasan dengan memberi tumpuan kepada kekuatan bandar dan luar bandar.


Beliau turut yakin kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan mampu membantu mempercepat pembangunan di seluruh Johor sekiranya Pakatan Harapan diberi peluang untuk mentadbir negeri itu.


"Sumber dan peruntukan yang lebih besar boleh disalurkan untuk membangunkan bukan sahaja Johor Bahru tetapi juga daerah-daerah di utara dan timur Johor seperti Mersing serta kawasan lain yang mempunyai potensi ekonomi," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page