PH Selangor persoal tindakan 7 ADN Pas berkecuali undi Belanjawan 2027


Tindakan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Pas Selangor memilih untuk berkecuali dalam undian Belanjawan Selangor 2027 mencerminkan ketidakseriusan mereka dalam membantu menyelesaikan isu rakyat
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor Abbas Azmi berkata, ia termasuk berhubung cadangan tambahan elaun guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
"Tindakan itu menimbulkan persoalan sama ada mereka menganggap tambahan elaun berkenaan sebagai perkara remeh, sedangkan kepentingan guru Kafa turut melibatkan masyarakat Melayu Islam," katanya dalam kenyataan.
Menerusi kenyataan tersebut beliau juga menegaskan, Belanjawan 2027 dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberi tumpuan kepada permasalahan utama negeri dengan menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif untuk rakyat tanpa mengira latar belakang.
Belanjawan itu memperuntukkan sebanyak RM503.15 juta bagi pembangunan prasarana termasuk RM36.45 juta untuk tebatan banjir, RM19.38 juta bagi sistem saliran dan RM25 juta untuk mitigasi banjir SMG.
"Selain itu, RM17.90 juta diperuntukkan bagi pembangunan dan pengurusan lembangan sungai, RM26 juta untuk Kolam Takungan Banjir Sungai Jati, Klang serta RM6.45 juta bagi projek pembangunan pantai.
"Kerajaan Negeri turut menyediakan RM6.63 juta bagi projek saliran mesra alam pada 2027 bagi memastikan pelaksanaan program mitigasi banjir berjalan lancar," tambahnya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan ADUN Ijok yang berkecuali ketika undi belah bahagi, sedangkan kawasan berkenaan memerlukan usaha berterusan untuk menangani masalah banjir.
"Kejadian banjir di Ijok memerlukan perhatian khusus, malah Menteri Besar sudah beberapa kali turun ke kawasan itu dan mengarahkan beberapa langkah segera," jelasnya.
Abbas yang juga ADUN Seri Serdang turut mengkritik tindakan ADUN Pas yang didakwa lebih banyak bercakap dan mengkritik berbanding menyelesaikan masalah.
"Saya menyeru semua pihak mengetepikan kepentingan parti apabila berhadapan isu rakyat dan mencontohi kesungguhan Menteri Besar serta barisan Exco kerajaan negeri yang terus berusaha menyelesaikan masalah walaupun berdepan kritikan," katanya.




Comments