PH Sarawak bantah draf persempadanan semula SPR


Pakatan Harapan (PH) Sarawak menyatakan bantahan terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihanraya negeri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengerusinya Chong Chieng Jen berkata, penilaian ke atas draf cadangan persempadanan itu mendedahkan tiga isu kritikal yang meminggirkan kepentingan rakyat Sarawak sekaligus mencerminkan kegagalan dalam mematuhi prinsip keadilan demokrasi.
Menurutnya, wujud jurang populasi yang ketara dengan purata 20,582 pengundi bagi setiap kawasan berdasarkan jumlah keseluruhan 2.03 juta pengundi.
"Cadangan itu menjejaskan prinsip ‘satu undi, satu nilai’. 24 kerusi mempunyai kurang daripada 15,000 pengundi, manakala 25 kerusi bandar dipadatkan dengan lebih 26,000 pengundi.
"Sebagai contoh, kawasan seperti Gedong dan Sadong Jaya hanya mempunyai 10,000 pengundi serta Pelagus dengan 10,372 pengundi, berbeza dengan kawasan bandar seperti Piasau (34,000 pengundi), Tudan (32,000 pengundi), Tanjong Batu (32,000 pengundi) dan Batu Kawah (31,000 pengundi).
"Ketidakseimbangan nisbah ini bermaksud tiga undi di Piasau hanya menyamai nilai satu undi di Gedong," katanya dipetik laporan media.
Selain taburan pengundi, Chieng Jen turut membangkitkan isu ketidakseimbangan perwakilan etnik yang tidak berkadar terus dengan demografi populasi.
Demografi pengundi Sarawak jelasnya merangkumi masyarakat Iban sebanyak 28.8 peratus, Melayu, Melanau dan Kedayan (28.3 peratus) serta Cina (28.0 peratus).
"Kadar perwakilan bagi kaum Cina dijangka menyusut daripada 17.07 peratus kepada 16.16 peratus. Kesan yang lebih drastik akan dialami masyarakat Iban yang berdepan kejatuhan nilai perwakilan daripada 26.8 peratus kepada 22.2 peratus.
"Berlaku juga bertindih yang memisahkan satu komuniti secara tidak wajar kepada beberapa kawasan DUN yang berbeza, seperti yang berlaku di Kenyalang, Pending dan Padungan," tambahnya.
PH Sarawak turut mengkritik proses persempadanan yang hanya memfokuskan kepada penambahan kerusi DUN, namun masih mengekalkan jumlah kerusi Parlimen pada 31 kerusi.
Chieng Jen menegaskan, pertambahan kerusi DUN sewajarnya dibuat seiring dengan peningkatan kerusi Parlimen bagi memastikan kelantangan suara Sarawak tidak tenggelam pada peringkat Persekutuan.
"Pihak kerajaan dicadangkan untuk menggunakan nisbah dua kerusi DUN bagi setiap satu kerusi Parlimen, yang secara automatik mampu melonjakkan jumlah perwakilan parlimen Sarawak kepada 41 kerusi.
"Sehubungan dengan kepincangan ini, PH Sarawak menyeru sekurang-kurangnya 100 orang pengundi dari setiap kawasan untuk tampil mendaftarkan diri untuk bantahan rasmi di pusat khidmat parti berhampiran untuk dikumpulkan dan difailkan," jelas Ahli Dewan Negeri (ADN) Padungan itu.
Selain tiga isu kritikal tersebut, berlaku juga bertindih yang memisahkan satu komuniti secara tidak wajar kepada beberapa kawasan DUN yang berbeza, seperti yang berlaku di Kenyalang, Pending dan Padungan.




Comments