top of page

PH persoal BN: Menang 75 peratus kerusi tetapi aduan rakyat masih berulang

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
57 minutes ago
2 min read

Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan prestasi pentadbiran Barisan Nasional (BN) Melaka apabila pelbagai aduan rakyat membabitkan kos bil air, perumahan, bantuan kebajikan dan peluang pekerjaan masih dibangkitkan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).


Sekretariat Jabatan Pilihan Raya PH Melaka berkata, BN yang memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN 2021, bersamaan 75 peratus kerusi, perlu menjelaskan sejauh mana masalah rakyat berjaya diselesaikan sepanjang tempoh pentadbirannya.


Menurut kenyataan itu, mandat besar yang diberikan rakyat sepatutnya disusuli tanggungjawab untuk memastikan keperluan asas masyarakat diberi perhatian.


"Mandat sebesar itu datang dengan tanggungjawab yang besar. BN perlu menjelaskan apa yang sudah diselesaikan dan mengapa keluhan ini masih dibangkitkan, bukannya kembali meminta kepercayaan seolah-olah baru hendak mentadbir Melaka," katanya dalam kenyataan sempena hari kedua kempen PRN Melaka, hari ini.


Menurut PH, maklum balas yang diterima sepanjang gerak kerja kempen turut menunjukkan keresahan penduduk mengenai kesukaran memiliki rumah, akses bantuan kebajikan dan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal.


Peniaga kecil pula berdepan tekanan sewa serta kekangan modal untuk meneruskan perniagaan.


Selain itu, isu banjir berulang, sistem perparitan, lampu jalan, kebersihan dan penyelenggaraan kemudahan awam turut menjadi antara perkara yang dibangkitkan penduduk.


PH turut membangkitkan aduan berkaitan Melaka Sentral, projek yang belum dimanfaatkan sepenuhnya serta keadaan lokasi pelancongan yang memerlukan penjelasan dan tindakan sewajarnya.


"Rakyat berhak bertanya, jika urusan asas pun masih dikeluhkan, atas ukuran apa pentadbiran sedia ada mahu terus dibanggakan?


"Papan tanda boleh ditukar dan slogan boleh diperbaharui, tetapi mutu perkhidmatan mesti membuktikan hasilnya," kata kenyataan itu.


Dalam pada itu, PH memaklumkan manifesto gabungan berkenaan akan dilancarkan dalam beberapa hari lagi dengan menawarkan pelbagai komitmen bagi menangani keperluan rakyat Melaka.


Antara keutamaan yang bakal diketengahkan ialah penyediaan kediaman mampu milik, peningkatan pendapatan, sokongan kepada usahawan kecil, kebajikan pelajar serta bantuan yang mudah diakses dan telus.


Menurut sekretariat itu, perincian manifesto berkenaan akan dibentangkan ketika pelancaran bagi membolehkan pengundi meneliti dan menilai setiap komitmen yang ditawarkan.


"Perinciannya akan dibentangkan ketika pelancaran supaya setiap komitmen dapat diteliti dan dinilai sendiri oleh pengundi. Kami mahu mandat yang dibina atas tawaran yang jelas serta kesediaan untuk dipertanggungjawabkan," katanya.


PH turut menegaskan kempen gabungan itu akan diteruskan menerusi pertemuan bersemuka dan perbincangan mengenai isu yang dekat dengan kehidupan penduduk.


Malah, semua pihak diseru supaya berkempen dengan mengemukakan penyelesaian terhadap masalah rakyat dan bersedia menerima penilaian pengundi.


"Kuasa mentadbir bukan hak kekal mana-mana parti, dan pengundi tidak berhutang mandat kepada sesiapa.


"Melaka Rumah Kita ialah tekad untuk memastikan negeri ini diurus demi kesejahteraan rakyat, dengan peluang yang lebih luas dan masa depan yang lebih terjamin," kata kenyataan itu lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page