Pertarungan di PRK Lunas Yang Mencipta Sejarah


Oleh: Zunar
Catatan Reformasi : Parti Keadilan (ketika itu dikenali dengan nama Parti Keadilan Nasional) ditubuhkan pada 4 April 1999 dan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang diadakan pada 29 November tahun itu telah memenangi lima kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN.
Namun, cabaran sebenar sesebuah parti baharu ialah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana ketika itu adalah hampir mustahil untuk mengalahkan BN dengan segala jentera kerajaan yang dikerahkan dan wang yang ditabur dalam sesebuah PRK, apalagi di kubu mereka sendiri.
Akibat kematian ADUN BN, PRK Lunas di Kedah ditetapkan pada 29 November 2000 dan ia mencatat sejarah baharu kerana kemenangan berpihak kepada KEADILAN yang ketika itu dalam gabungan Barisan Alternatif (BA).
Kemenangan pertama PRK
Yang membuat PRK Lunas mencatat sejarah ialah kerana itulah kemenangan pertama KEADILAN dalam PRK; tetapi cara ia dimenanginya penuh dengan pertarungan strategi, suspens, dan penuh dengan adu lengan. Dalam PRK itu, Saifuddin Nasution Ismail (sekarang Datuk Seri, Menteri KDN) mewakili KEADILAN melawan calon daripada BN yang diwakili MIC.
Pemimpin MIC, Datuk Samy Vellu (sekarang mendiang) memperlekeh keupayaan KEADILAN untuk menang dengan berkata, beliau akan terus tinggal di Lunas dan tidak pulang ke Kuala Lumpur sekiranya parti itu berjaya mengalahkan BN.
Saya tiba di Lunas dengan Omar Tan pada dua hari terakhir kempen. Ketika itu bulan puasa. Di Bilik Gerakan Utama KEADILAN, ada sesuatu yang dirancang, tetapi kami belum mengetahui butirannya. Tetapi ini sebenarnya yang berlaku: maklumat BN mendapati mereka sedang ketinggalan dengan 500 undi. Jadi, apa yang dilakukan ialah membawa masuk pengundi-pengundi dari luar sebagai pengundi hantu. Sebanyak 18 buah bas telah disewa dari luar untuk membawa pengundi-pengundi tersebut. Ia memuatkan kira-kira 700 penumpang.
Dan mereka bermalam di Seberang Jaya, Pulau Pinang dan akan bertolak ke Lunas keesokan paginya melalui Lebuhraya Butterworth-Kulim. Namun, maklumat ini diperoleh lebih awal oleh petugas KEADILAN / BA. Maklumatnya lengkap dengan jumlah bas, masa perjalanan, serta nombor plat bas-bas berkenaan. Petugas KEADILAN mula berkawal dan menunggu di lebuh raya tersebut sejak jam 12 malam. Menjelang 6.00 pagi, bas-bas pun dilapor sudah bergerak dari Seberang Jaya menuju ke Lunas. Petugas KEADILAN membuat halangan.
Sekatan jalan raya
Motosikal dan kereta disusun melintangi jalan. Kira-kira jam 6.30 pagi, bas-bas tersebut sampai dan terpaksa berhenti kerana halangan tersebut. Para petugas KEADILAN mengepung dan memasuki bas-bas itu. Penumpang di dalam bas menyatakan mereka sebenarnya datang untuk membantu BN. Petugas KEADILAN meminta mereka menunjukkan kad pengenalan masing-masing dan juga permit sekiranya mereka benar-benar petugas pilihan raya.
Namun, mereka gagal menunjukkan dokumen seperti yang diminta dan ada juga laporan berlaku pukul-memukul. Pihak polis terpaksa masuk campur. Kesemua bas itu kemudiannya diiring ke balai polis. Keadaan menjadi sangat tegang. Polis dan FRU semakin ramai kelihatan. Penyokong juga semakin ramai. Ada terdengar jeritan daripada penyokong dari luar balai untuk membakar bas-bas tersebut sekiranya mereka tidak beredar.
Setelah perbincangan berlaku antara pihak polis dengan pemimpin-pemimpin KEADILAN, akhirnya bas-bas tersebut diiringi keluar dari Lunas. Dan pada malam tersebut, calon KEADILAN, Saifuddin Nasution diisytiharkan sebagai pemenang PRK Lunas dengan majoriti 530 undi. Suasana di Lunas pada malam itu seperti sebuah pesta. Motosikal dan kereta entah datang dari mana memenuhi jalan-jalan di Pekan Lunas dengan membunyikan hon kemenangan. Saya dan Omar Tan terselit di antara mereka.
Kemenangan ini telah mengubah seluruh landskap politik apabila KEADILAN mula mendapat kepercayaan umum dan semangat baharu untuk bertapak dalam arena politik tanah air.




Comments