Esma Eazreen banyak pengalaman kerja kebajikan, sokong calon PH DUN Rim


Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj mengiringi calon Pakatan Harapan (PH), Esma Eazreen yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, kehadirannya di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Lipat Kajang, Jasin semalam bertujuan memberikan sokongan kepada calon nombor satu PH selain menyuntik semangat kepada jentera parti dan penyokong yang terlibat dalam kempen.
Menurutnya, Esma bukanlah individu baharu dalam kepimpinan kerana mempunyai pengalaman dalam gerak kerja kebajikan, kepimpinan wanita serta organisasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di peringkat cabang dan negeri.
"Beliau mempunyai pengalaman dalam gerak kerja kebajikan, kepimpinan wanita serta organisasi KEADILAN di peringkat cabang dan negeri.
"Inilah antara pengalaman yang boleh dimanfaatkan untuk membawa suara dan keperluan masyarakat Rim," katanya dalam hantaran di media sosial.
Turut hadir memberikan sokongan ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta barisan pimpinan KEADILAN Johor dan Melaka.
Yuneswaran berkata, pilihan raya bukan sekadar soal calon yang bertanding, sebaliknya berkaitan amanah, tanggungjawab dan kesediaan untuk bekerja demi kepentingan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap Esma terus mendekati masyarakat, mendengar setiap pandangan serta memperjuangkan keperluan penduduk setempat sekiranya diberikan mandat.
Beliau turut memuji komitmen jentera dan sukarelawan yang bekerja keras menjayakan gerak kerja kempen, sambil berharap semangat kebersamaan itu dapat dikekalkan sepanjang tempoh pilihan raya.
"Syabas kepada seluruh jentera dan sukarelawan yang bekerja keras menjayakan gerak kerja ini. Semangat sebegini perlu terus dikekalkan sepanjang kempen," katanya.
Beliau turut mengajak pengundi memberikan sokongan kepada Esma Eazreen sebagai calon nombor satu PH bagi DUN Rim.




Comments