top of page

Kerajaan MADANI terus perkasa pendidikan pondok di Kelantan

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
2 hours ago
2 min read
DS Anwar menyerahkan bantuan kepada wakil pusat pengajian di Kelantan
DS Anwar menyerahkan bantuan kepada wakil pusat pengajian di Kelantan

Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh institusi pondok, memelihara warisan keilmuan Islam serta memperluas akses pendidikan dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, perkara itu ditegaskan ketika menghadiri Program Sebarkan Salam @ Kota Bharu Berselawat 2026 di Dataran Muhammadi, malam tadi, yang menghimpunkan para ulama, tuan guru dan masyarakat Kelantan bagi menyuburkan majlis ilmu serta memperkukuh persaudaraan dan perpaduan.


Menurut Anwar, Islam tertegak atas budaya Iqra atau budaya ilmu yang berteraskan akidah dan pembentukan sahsiah. Kefahaman itu perlu diperdalam melalui penghayatan semula turath, iaitu khazanah keilmuan yang diwariskan para ulama sejak lebih 1,000 tahun lalu.


Anwar berkata, institusi pondok memainkan peranan besar dalam memelihara warisan keilmuan Islam serta menjadi benteng mempertahankan akidah dan jati diri umat ketika berdepan penjajahan.


Sehubungan itu, Kerajaan MADANI terus menambah sokongan dan memperbaiki kemudahan institusi pondok supaya dapat berkembang serta menyumbang dengan lebih bermakna kepada masyarakat.


Pada masa sama, kerajaan membantu pelajar pondok menguasai ilmu dan teknologi baharu, termasuk AI, agar mereka tidak ketinggalan dalam persaingan semasa.


Beliau turut memaklumkan usaha sedang dirintis untuk meningkatkan mutu pendidikan pondok sehingga ke tahap institusi pendidikan tinggi dan universiti.


Anwar berkata, komitmen kerajaan terhadap pendidikan dan kesejahteraan rakyat Kelantan turut diterjemahkan melalui pelbagai peruntukan, termasuk lebih RM260 juta yang diluluskan bagi pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral), baik pulih institusi pendidikan Islam serta penyediaan kemudahan wakaf air, solar dan dialisis di beberapa masjid.


Beliau menegaskan dakwaan bahawa Kerajaan MADANI tidak membantu Kelantan sama sekali adalah tidak benar.


Menurutnya, tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dilaksanakan tanpa mengambil kira perbezaan politik, selain menolak amalan pentadbiran yang menghukum rakyat di negeri-negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.


Anwar berkata, selagi diberi amanah dan ruang untuk memimpin, beliau mahu memastikan pemerintahan yang dipimpin orang Islam menjadi teladan dalam berlaku adil dan bijaksana, selain mengangkat martabat rakyat serta negara.


Beliau berharap usaha menyuburkan ilmu, memuliakan para ulama dan membela rakyat akan terus diperkukuh demi kesejahteraan masyarakat.



Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page