Pemimpin BN jangan angkuh, mandat ditentukan rakyat – Faezuddin


Pemimpin BN diingatkan supaya tidak terlalu sombong dan angkuh dengan keyakinan terhadap peluang kemenangan, sebaliknya terus menghormati pihak lain serta menyerahkan keputusan kepada rakyat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar) berkata, keyakinan dalam politik tidak seharusnya bertukar menjadi keangkuhan sehingga seseorang pemimpin menganggap kemenangan sudah pasti dalam genggaman.
Beliau berkata, sikap merendah diri seperti pepatah Melayu, 'ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk' perlu menjadi pegangan setiap pemimpin.
"Bercakap besar dan memandang rendah orang lain bukanlah akhlak yang mencerminkan semangat Bangsa Johor, yang sentiasa menjunjung tinggi nilai hormat-menghormati dan kesopanan," katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, kemenangan bukan lesen untuk mendabik dada, manakala kuasa pula tidak boleh dijadikan alasan untuk memperkecilkan pihak lain.
Faezuddin dipercayai respons terhadap komen Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berkata pihak lawan hanya membuang masa, wang dan tenaga apabila bertanding menentang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Beliau turut menegaskan bahawa mandat rakyat bukan hak mutlak mana-mana parti atau pemimpin kerana keputusan sebenar terletak di tangan pengundi.
"Mandat bukan hak mutlak mana-mana parti atau pemimpin. Bukan kita yang menentukan siapa menang atau kalah. Rakyat yang mengundi, maka biarlah rakyat yang membuat keputusan," katanya.
Beliau berkata, semua pihak perlu mengelakkan sikap terlalu yakin sehingga memandang rendah kemampuan pihak lawan, sebaliknya mengekalkan kesopanan dan menghormati proses demokrasi.
"Jangan terlalu tinggi mendongak, bimbang terlupa bumi tempat berpijak," katanya.
Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz semalam mendakwa, maklum balas diterimanya yang menunjukkan rakyat Melaka menolak propaganda politik serta pendekatan menawarkan pelbagai ‘gula-gula’ semata-mata untuk meraih sokongan.
Menurutnya, rakyat negeri itu tidak mudah terpengaruh dengan kempen memburukkan pemimpin BN, sebaliknya majoriti mahu mengekalkan kerajaan negeri sedia ada.




Comments