top of page

SIC: Pertahan MotoGP, kaji kepulangan F1 dengan teliti – Aiman Athirah

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
3 min read
Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu
Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu

Kerajaan digesa memperkukuh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai aset strategik negara dengan mempertahankan penganjuran MotoGP, selain menilai secara serius kemungkinan membawa kembali perlumbaan Formula 1 (F1) ke Malaysia.


Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu berkata, masa depan SIC tidak seharusnya dinilai berdasarkan kos penganjuran acara tahunan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira potensi pelaburan, pembangunan industri, peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada rakyat.


Menurutnya, SIC bukan sekadar litar perlumbaan, tetapi aset strategik negara yang berperanan sebagai pemangkin pelancongan, platform pelaburan serta pintu masuk Malaysia untuk bersaing dalam industri sukan permotoran dunia.


"Saya menyatakan sokongan terhadap usaha Litar Antarabangsa Sepang (SIC) memperkukuh kemampanan kewangan, mempelbagaikan sumber pendapatan dan memaksimumkan potensi ekonominya, termasuk memastikan kesinambungan penganjuran MotoGP serta meneliti kemungkinan membawa kembali Formula 1 ke Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap masa depan SIC sebagai aset negara yang mempunyai nilai antarabangsa, kelebihan lokasi dan potensi besar merangsang pertumbuhan ekonomi.


Mengulas kesinambungan MotoGP Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2031, Aiman Athirah berkata, keputusan itu penting untuk mengekalkan kedudukan negara dalam kalendar sukan permotoran antarabangsa.


Bagaimanapun, katanya, berdasarkan laporan media, komitmen pembiayaan keseluruhan bagi tempoh lima tahun itu dianggarkan RM457 juta, dengan bahagian tanggungan SIC meningkat secara berperingkat daripada 10 peratus pada 2027 kepada 50 peratus pada 2031.


Katanya, perkembangan itu menuntut pembaharuan model perniagaan SIC supaya lebih mampan dan tidak terlalu bergantung kepada pembiayaan Kerajaan Persekutuan.


"Saya menyokong usaha mempertahankan MotoGP sebagai acara sukan antarabangsa yang mempunyai nilai komersial, pelancongan dan penjenamaan negara. Namun, pengukuhan kewangan SIC tidak seharusnya diterjemahkan secara berlebihan kepada kenaikan harga tiket sehingga membebankan peminat," katanya.


Sebaliknya, beliau mencadangkan SIC memperluas sumber pendapatan melalui penajaan korporat, hak komersial, pakej hospitaliti, penyewaan fasiliti, penganjuran acara tambahan serta kerjasama strategik dengan pengeluar automotif dan rakan industri antarabangsa.


Mengenai kemungkinan membawa kembali F1, beliau menyambut baik usaha SIC menyediakan kajian kebolehlaksanaan yang dilaporkan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada November ini.


Beliau turut merujuk kejayaan penganjuran Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober 2026 yang menarik kira-kira 261,000 penonton sepanjang tiga hari, dengan anggaran impak ekonomi sekitar RM950 juta berdasarkan laporan media.


Bagaimanapun, katanya, keputusan membawa kembali F1 tidak boleh bersandarkan nostalgia, prestij atau jumlah kehadiran penonton semata-mata.


"Ia mesti berpandukan kajian ekonomi yang teliti, mengambil kira kos hak penganjuran, komitmen operasi, penajaan, pendapatan komersial dan pulangan bersih kepada negara," katanya.


Beliau turut mencadangkan kerajaan meneliti beberapa model penganjuran termasuk secara tahunan sekiranya berdaya maju, penganjuran berkala bagi mengoptimumkan kos dan manfaat serta kerjasama strategik dengan negara atau rakan antarabangsa untuk berkongsi kos dan risiko.


Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, manfaat penganjuran MotoGP dan F1 perlu dinilai berdasarkan kesan terhadap sektor ekonomi lain termasuk perhotelan, penerbangan, pengangkutan, makanan dan minuman, peruncitan, logistik serta pelancongan.


Kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, kedudukan Sepang yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain mempunyai jaringan pengangkutan dan akses kepada pasaran pelancongan antarabangsa, memberikan kelebihan kepada SIC untuk menjana limpahan ekonomi lebih besar.


Bagaimanapun, manfaat itu tidak akan berlaku secara automatik tanpa perancangan yang menghubungkan penganjuran acara sukan dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pengusaha tempatan serta destinasi pelancongan di Sepang dan Selangor.


Beliau mencadangkan kerajaan dan SIC membangunkan pelan limpahan ekonomi khusus dengan sasaran yang boleh diukur, termasuk peningkatan perbelanjaan pelancong, kadar penginapan hotel, penyertaan vendor tempatan, peluang pekerjaan serta pendapatan perniagaan komuniti setempat.


Aiman Athirah turut mengingatkan supaya penilaian ekonomi membezakan antara impak ekonomi keseluruhan, pendapatan langsung SIC dan hasil fiskal yang diterima kerajaan.


"Angka impak ekonomi tidak boleh disamakan dengan keuntungan bersih penganjuran atau hasil kerajaan. Oleh itu, penilaian perlu mengambil kira kos keseluruhan, aktiviti ekonomi tambahan yang benar-benar diwujudkan serta manfaat bersih selepas ditolak kos dan risiko berkaitan," katanya.


Selain itu, beliau mencadangkan SIC dimanfaatkan sepanjang tahun menerusi penganjuran acara permotoran antarabangsa, ujian dan pembangunan kenderaan, latihan teknikal, persidangan industri, aktiviti korporat serta penyewaan fasiliti untuk kegunaan komersial.


Kerjasama dengan universiti, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pemain industri automotif juga perlu diperkukuh bagi membangunkan bakat tempatan, pemindahan teknologi dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.


Beliau turut menggesa kerajaan memastikan setiap pelaburan SIC disertai penilaian pulangan bebas dan telus, model pembiayaan pelbagai pihak, sasaran pendapatan komersial serta kerangka tadbir urus dan akauntabiliti prestasi yang jelas.


"Jangan sekadar pertahankan sebuah litar, tetapi perkukuh sebuah aset strategik negara. Jangan sekadar anjurkan perlumbaan, tetapi bina ekosistem ekonomi.


"Masa depan SIC mesti dibina bukan atas nostalgia semata-mata, tetapi atas strategi, daya saing dan pulangan yang bermakna untuk negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page