AMANAH bersama PH tawar 'solusi kuat' untuk Melaka – Dr Mujahid


Parti Amanah Negara (AMANAH) bersama Pakatan Harapan (PH) menawarkan kepimpinan berpasukan berteraskan politik sederhana, tadbir urus berintegriti dan penyelesaian yang mengutamakan rakyat sebagai pilihan terbaik untuk menerajui Melaka.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penyertaan tujuh calon parti itu dalam 24 kerusi yang ditandingi PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan komitmen AMANAH memperkukuh gabungan berkenaan.
Katanya, AMANAH bukan sekadar melengkapkan gabungan, sebaliknya membawa keupayaan untuk memimpin bersama demi memastikan pentadbiran negeri lebih baik.
"AMANAH tampil bukan sekadar melengkapkan gabungan, tetapi membawa keupayaan memimpin bersama – berteraskan politik sederhana, tadbir urus berintegriti dan penyelesaian yang mengutamakan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kekuatan PH terletak pada kepimpinan berpasukan yang mampu menyelaraskan pentadbiran negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Beliau turut menyindir pihak lawan yang didakwa masih bergelut dengan isu penggunaan logo, pembahagian kerusi dan hala tuju politik masing-masing.
"Ketika pihak lain masih bergelut dengan logo, kerusi dan haluan masing-masing, PH menawarkan pasukan yang tersusun serta mampu menyelaraskan pentadbiran negeri dengan Kerajaan Persekutuan," ujarnya.
Mujahid berkata, Melaka memerlukan sebuah kerajaan yang lebih baik dan mengutamakan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan AMANAH bersama PH bersedia menawarkan kepimpinan yang mampu membawa penyelesaian kepada pelbagai cabaran dihadapi rakyat negeri itu.
"Melaka memerlukan kerajaan yang stabil, bersih dan berfungsi. AMANAH bersama PH bersedia menjadi solusi kuat untuk rakyat Melaka dengan membawa Melayu bermaruah sebagai jaminan," katanya.




Comments