PH perlu ubah cara pikat pengundi muda Melayu - Ilham Centre


Pakatan Harapan (PH) masih berpeluang meraih sokongan pengundi muda Melayu, menurut ketua agensi pengukur arah sokongan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar dipetik laporan berita berkata, walaupun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pengundi muda dilihat lebih cenderung mengikut arus ‘gelombang biru-hijau’, namun PH masih berpeluang meraih kembali sokongan golongan itu.
"Pada PRN Melaka, mereka tertarik untuk mengikut trend menyokong BN dan PN.
"(Namun) golongan muda masih terbuka untuk menyokong parti politik lain. Majoriti mereka berkata tidak tahu siapa yang patut disokong. Inilah kekosongan yang perlu diisi," katanya pada forum yang membincangkan perjalanan PRN Melaka.
Beliau sementara itu berpandangan, golongan Melayu berpendidikan universiti lazimnya lebih kritis dan kurang dipengaruhi politik berasaskan identiti, namun potensi mereka masih belum dimanfaatkan parti politik.
Justeru PH perlu memperbaiki cara menyampaikan mesej agenda reformasi dan dasar yang diperjuangkan mereka.
"BN mendekati golongan mat rempit. Tetapi graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta golongan muda berpendidikan tidak didekati mana-mana pihak," katanya menurut laporan tersebut.
Sementara itu, Yusri Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu berkata kira-kira 20 peratus pengundi muda masih belum mempunyai pendirian politik yang jelas.
Menurutnya, ada dalam kalangan mereka yang mengkritik BN tetapi akhirnya tetap mengundi gabungan itu kerana PH gagal mendekati mereka.




Comments