PH P Pinang wujud tiga jawatankuasa baharu menuju PRU16
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang menambah tiga jawatankuasa baharu sebagai langkah awal memperkukuh kesiapsiagaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, penubuhan tiga jawatankuasa itu dibuat selepas Mesyuarat Agung Tahunan PH Pulau Pinang 2026 pada Sabtu.
Hal itu membabitkan Jawatankuasa Manifesto Pilihanraya yang diketuai Zairil Khir Johari (DAP), Jawatankuasa Penerangan oleh Lee Boon Heng (KEADILAN) dan Jawatankuasa Mobilisasi oleh Zahar Zainul (AMANAH).
PH Pulau Pinang juga jelasnya turut mengumumkan barisan Majlis Pimpinan PH negeri bagi 2024/2026, dengan beliau kekal sebagai Pengerusi, manakala tiga Timbalan Pengerusi ialah Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid daripada KEADILAN, Steven Sim Chee Keong (DAP) dan Muhammad Faiz Fadzil (AMANAH).
"Barisan ini turut dianggotai tiga Naib Pengerusi, iaitu Ramkarpal Singh, Dr Zaidi Zakaria dan Goh Choon Aik, manakala Lim Hui Ying dilantik sebagai Setiausaha serta Zulkiefly Saad sebagai Penolong Setiausaha.
"Penubuhan jawatankuasa ini akan melihat kepada isu seperti peratusan keluar mengundi yang rendah, cara untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pilihan raya umum akan datang," katanya dipetik.
Kon Yeow sementara itu juga menegaskan, kerjasama erat antara parti komponen PH negeri akan terus dipertingkatkan bagi memastikan kesinambungan pentadbiran berkesan, pembangunan mampan untuk Pulau Pinang secara keseluruhannya, serta memperkasakan jentera akar umbi.




Comments