PH kotakan janji: Laksana reformasi, dedah RCI TH, siasat salah urus
- Akmal Manaf

- 18 hours ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) telah melaksanakan janji reformasi total dengan mendedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) dan membenarkan siasatan salah laku oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas mana mana ahli politik terlibat.
Bagi Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi, tuduhan yang dilemparkan oleh rakyat yang kurang sabar melihat kemajuan reformasi selama ini telah pun terjawab dengan penahanan reman bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan semalam.
Katanya, perkembangan itu termasuk tindakan penguatkuasaan dalam kes TH membuktikan agenda reformasi sedang berjalan dan bakal membawa perubahan besar dalam sistem pentadbiran negara.
"Saya setuju reformasi yang sedang kita laungkan sedang berjalan. Reformasi itu bukan sekadar perubahan yang drastik, tetapi perubahan yang ada kemajuan.

"Banyak benda yang telah berubah dalam sistem kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH).
"Kalau kita lihat sebelum ini (seperti) pendakwaan terhadap perasuah-perasuah, inilah negara Malaysia baharu yang kita nak bawa," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perbezaan antara agenda reformasi secara menyeluruh yang dibawa kerajaan diterajui PH berbanding parti lain, termasuk usaha membanteras korupsi melibatkan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan sekali pun.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmennya untuk terus mengambil tindakan terhadap pemimpin yang mengamalkan rasuah, walaupun jika usaha itu tidak mendapat sokongan meluas sekutu politiknya.
Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, beliau tidak berminat untuk memenjarakan individu tertentu, sebaliknya hanya berminat mahu mendapatkan kembali wang negara yang diselewengkan pihak tertentu supaya dapat dikembalikan demi manfaat rakyat.




Comments