PH konsisten tunai MA63, pencapaian Kerajaan Madani perlu diwar warkan
- Redzuan Shamsudin

- 3 hours ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mengetepikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam setiap siri pilihanraya di Sabah dan Sarawak, malah terus menjadikannya antara teras utama manifesto sejak sebelum menjadi kerajaan.
Wakil PH Sabah ke Konvensyen PH 2026, Datuk Mustapha Sakmud (gambar) berkata, pelbagai pencapaian berkaitan MA63 telah pun direalisasikan, termasuk usaha memperkasakan pengiktirafan Hari Malaysia.
"Kalau kita imbas sebelum kita jadi kerajaan, kita telah berjaya mendesak kerajaan pada masa itu untuk memastikan cuti Hari Malaysia diangkat. Itu kita capai pada 2009 apabila Hari Malaysia diisytiharkan sebagai cuti umum," katanya sebagai pembahas di Konvensyen PH.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah itu, Kerajaan Madani turut menambah satu lagi hari cuti sempena Hari Malaysia pada 2025 sebagai tanda pengiktirafan berterusan terhadap kepentingan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa pencapaian kerajaan dalam tempoh tiga tahun ini perlu diperjelaskan kepada rakyat, khususnya di Sabah dan Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.
"Apa Kerajaan Madani telah lakukan dalam tempoh tiga tahun ini kita kena war warkan kepada rakyat terutama Sabah dan Sarawak," katanya.
Tambah beliau, antara pencapaian bersejarah lain ialah pelantikan Timbalan Perdana Menteri pertama dari Borneo oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai satu manifestasi janji yang ditunaikan selepas PH mengambil alih kerajaan pada 2022.
Dalam aspek pembangunan, Mustapha berkata peningkatan ketara peruntukan khas kepada Sabah dan Sarawak menunjukkan komitmen kerajaan.
"Kerajaan terdahulu paling tinggi (peruntukan) RM125.6 juta pada 2022.
"Tetapi sekarang kita naikkan sebanyak RM600 juta kepada Sabah dan Sarawak. Mana mahu cari kerajaan seperti ini? tanyanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan pembangunan Sabah meningkat daripada RM5.2 bilion pada 2022 kepada RM6.5 bilion pada tahun berikutnya, sebelum ditingkatkan lagi kepada RM6.9 bilion dalam belanjawan terkini.
Selain itu, kerajaan turut menyalurkan RM1.2 bilion bagi menangani isu kestabilan bekalan elektrik serta RM1 bilion untuk bekalan air bersih di Sabah bagi tahun ini.
Mengulas projek infrastruktur, beliau berkata pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah kini menunjukkan kemajuan ketara selepas sebelum ini berdepan pelbagai isu termasuk pertukaran kontraktor dan kelewatan tender.
"Dalam tempoh kerajaan Madani, hampir keseluruhan pakej Pan Borneo di Sabah telah dianugerahkan kepada kontraktor terbaik dan kini dalam pelaksanaan. Kita telah selesaikan banyak perkara dalam tiga tahun ini," katanya lagi.
Menurut beliau, daripada 29 perkara berkaitan MA63, sebanyak 13 telah berjaya diselesaikan, termasuk sembilan dalam tempoh tiga tahun pentadbiran kerajaan Madani.




Comments