PH kembalikan inisiatif Dana Harta Bumiputera jika mentadbir semula Melaka


Pakatan Harapan (PH) berhasrat mengembalikan semula inisiatif Dana Harta Bumiputera menerusi Melaka Amanah Finance House.
Pengerusinya Adly Zahari berkata, dana tersebut diwujudkan ketika PH mentadbir negeri sebelum ini untuk membantu golongan Bumiputera mendapatkan pembiayaan pembelian rumah serta menyediakan sokongan kewangan kepada usahawan mikro.
"Dana berkenaan diluluskan ketika pentadbiran PH mempunyai nilai lebih RM30 juta dan merupakan antara inisiatif kerajaan negeri menggunakan hasil sendiri untuk membantu masyarakat.
"Saya fikir langkah ke hadapan, inisiatif ini harus ada kerana kita tahu bahawa memperkukuh ekonomi golongan Bumiputera adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita," katanya dipetik dalam sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama, di Ayer Keroh pada Sabtu.
Sementara itu tambahnya, usaha memperkukuh ekonomi Bumiputera tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya kerajaan negeri juga perlu menyediakan mekanisme sokongan kewangan tersendiri.
"Ramai usahawan Bumiputera yang harus dibantu. Di samping kerjasama dengan kerajaan Persekutuan seperti TEKUN dan seumpamanya, kerajaan negeri mesti ada inisiatif-inisiatif itu dan sebahagian dana harus diperuntukkan," tambahnya.
Beliau turut menegaskan,pengurusan kewangan berhemah serta ketelusan pentadbiran mampu menyediakan ruang untuk kerajaan negeri melaksanakan lebih banyak program yang memberi manfaat kepada rakyat.
"RM30 juta yang kita luluskan untuk Dana Harta Bumiputera sebelum ini adalah daripada hasil negeri, tidak melibatkan hasil daripada Persekutuan.
"Ia membuktikan penjimatan, ketelusan kerajaan dan perbelanjaan berhemah boleh memberikan sesuatu yang baik kepada rakyat," katanya.




Comments