Kerajaan MADANI komited percepat pembangunan utara Sabah


Kerajaan MADANI komited mempercepat pembangunan kawasan utara Sabah, khususnya Kota Marudu, Kudat dan Kota Belud bagi memastikan kemajuan dinikmati secara lebih seimbang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, Kota Marudu memiliki nilai sejarah dan potensi besar, namun masih berdepan cabaran pembangunan serta kadar kemiskinan yang membimbangkan.
Menurutnya, isu asas seperti banjir, bekalan air bersih, jalan raya dan kekurangan doktor pakar perlu diberi perhatian serius bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk.
"Keadaan ini memerlukan perhatian serius supaya kawasan yang pernah mempunyai kedudukan penting dalam sejarah Sabah dapat kembali berkembang dan menikmati kemajuan secara lebih menyeluruh.
"Peruntukan pembangunan perlu disusuli pelaksanaan projek berkesan supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat.
"Ini perkara yang perlu kita uruskan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat," katanya dipetik ketika merasmikan Program Jelajah Aku Kasih Malaysia, di Kota Marudu pada Sabtu.
Mustapha yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah sementara itu menegaskan, pembangunan luar bandar dan pedalaman perlu terus diperkasa secara inklusif, dengan mengambil kira keperluan masyarakat setempat serta memastikan tiada golongan yang tercicir.
Beliau turut menyeru kerjasama rapat antara kerajaan, agensi berkaitan, pemimpin masyarakat dan penduduk bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Dalam masa sama, Mustapha berharap Program Jelajah Aku Kasih Malaysia apat memperkukuh hubungan kerajaan dengan rakyat serta menjadi platform masyarakat mendapatkan maklumat mengenai pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan.




Comments