Manifesto PH 'Aspirasi Melaka Rumah Kita' semakin diterima pengundi


Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kini semakin diterima oleh pengundi tempatan.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim (gambar), penerimaan positif terhadap manifesto bertemakan 'Aspirasi Melaka Rumah Kita' itu menunjukkan lonjakan yang baik.
Beliau bagaimanapun menegaskan, jentera parti akan terus menggandakan usaha sepanjang sisa tempoh seminggu kempen bagi meraih sokongan dan meyakinkan rakyat untuk keluar mengundi.
"Insya-Allah, dalam tempoh seminggu ini kita perlu perjelaskan, perkemas, dan menyusun kekuatan jentera di peringkat akar umbi.
"Strategi utama adalah meyakinkan rakyat untuk menyertai pesta demokrasi ini," katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata begitu semasa sesi dialog bersama persatuan nelayan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Linggi, bersama Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin pada Sabtu.
Untuk rekod, manifesto PH yang dilancarkan pada 3 November lalu mengandungi tiga teras utama dan 12 aspirasi yang merangkumi hala tuju pembangunan negeri serta peningkatan kesejahteraan rakyat Melaka.
Menerusi manifesto tersebut, PH berhasrat mewujudkan tadbir urus yang telus, meningkatkan kualiti hidup penduduk tempatan, dan memastikan agihan limpahan ekonomi negeri dapat dinikmati secara adil oleh segenap lapisan masyarakat Melaka.
Sementara itu menurut Kamil Munim, peratusan keluar mengundi yang tinggi pada PRN kali ini amat penting bagi memberikan isyarat jelas untuk memulihkan pentadbiran Kerajaan Negeri.




Comments