PH Johor sedia hadapi PRN, pembubaran DUN sudah dijangka
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) Johor menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang diumumkan hari ini sebagai sesuatu yang telah dijangkakan sejak awal.
Dalam kenyataan PH Johor, gabungan itu berkata pihak mereka mengambil maklum pengumuman Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung pembubaran tersebut yang berkuat kuasa serta-merta.
Tegas kenyataan itu, PH sebelum ini telah menjangkakan BN akan mengambil langkah berkenaan dalam masa terdekat, sekali gus mempersoalkan kewajaran sidang DUN yang dijadualkan pada 22 Jun ini.
"Dari awal lagi PH telah menjangkakan BN akan membubarkan DUN dalam masa terdekat. Dan ternyata sidang DUN yang diumumkan akan diadakan pada 22 Jun adalah 'tidak masuk akal' sama sekali," kata mereka dalam satu kenyataan.
PH Johor berkata, atas semangat demokrasi, mereka akan meneruskan segala persiapan sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal dilaksanakan itu.
"Bagi kami, tidak ada pilihanraya yang mudah. Pakatan Harapan siap sedia menggembeling usaha sebaik mungkin untuk memenangi PRN kali ini," katanya.
Dalam masa sama, PH Johor memaklumkan perbincangan mengenai strategi dalam PRN kali ini akan diputuskan di peringkat Majlis Presiden PH Pusat.
"Pakatan Harapan Johor juga akan memanjangkan perbincangan ke peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan Pusat bagi merangka langkah seterusnya," ujar kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi AMANAH Johor merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; dan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching.




Comments