top of page

PH gabungan paling stabil, BN, PN bergelora menjelang PRN Johor

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Jun 25
3 min read

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini memasuki fasa lebih serius apabila tiga gabungan utama dilihat berada dalam keadaan yang cukup berbeza dari segi kesediaan, kestabilan dan keyakinan untuk berdepan rakyat.


Perkembangan sejak dua hari lalu memperlihatkan Pakatan Harapan (PH) tampil dengan imej paling tersusun dan meyakinkan berbanding pesaing lain.


Kelmarin, Pengerusi PH merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengumumkan senarai calon gabungan itu di Bukit Gambir dengan kehadiran pimpinan tertinggi semua parti komponen PH serta wakil Kerajaan Perpaduan.


Pengumuman tersebut bukan sekadar memperkenalkan calon, malah menghantar mesej yang cukup jelas bahawa PH memasuki gelanggang pilihan raya dengan semangat setiakawan, disiplin dan kesepaduan yang tinggi.


"Isyarat yang ditunjukkan oleh PH ini jelas menggambarkan kesatuan yang kukuh dan kesiapsiagaan untuk mentadbir Johor dengan lebih stabil," kata Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim.

Datuk Dr Suhaimi Ibrahim
Datuk Dr Suhaimi Ibrahim

Menurut beliau, paparan solidariti pimpinan PH itu sudah tentu memberi keyakinan kepada pengundi, khususnya golongan atas pagar yang sentiasa meletakkan faktor kestabilan sebagai pertimbangan utama sebelum membuat keputusan.


Sebaliknya, suasana berbeza menyelubungi pengumuman calon Barisan Nasional (BN).


Majlis yang sepatutnya menjadi pentas untuk menunjukkan kekuatan parti bertukar menjadi medan yang menimbulkan pelbagai persoalan.


Pengumuman dibuat oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Johor tanpa kehadiran Presiden, Timbalan Presiden dan beberapa pimpinan utama parti.


Ketiadaan kepimpinan tertinggi itu segera mengundang pelbagai tafsiran, termasuk kemungkinan wujud perbezaan pandangan terhadap keputusan BN Johor untuk bertanding secara solo.


Ia sekali gus dilihat mewujudkan persepsi berlakunya jurang antara kepimpinan Umno pusat dan negeri.


Majlis pengumuman calon BN turut dilewatkan lebih dua jam atas alasan teknikal, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai kemungkinan berlaku rundingan saat akhir atau rombakan calon sebelum senarai dimuktamadkan.


Situasi itu dianggap janggal memandangkan BN merupakan pihak yang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih awal dan sepatutnya berada dalam keadaan paling bersedia menghadapi pilihan raya.


Beberapa keputusan pemilihan calon juga mengundang persoalan.


Antaranya ketiadaan nama bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, yang sebelum ini dilihat sebagai antara tokoh berpengaruh dalam UMNO negeri.


Selain itu, pencalonan Alawiyah Talib di DUN Endau, yang merupakan bekas pemimpin Bersatu, turut mengundang tanda tanya mengenai kekuatan dan keyakinan BN terhadap calon daripada kalangan ahlinya sendiri.


Pencalonan semula Datuk Dr Adham Baba juga menarik perhatian berikutan rekod beliau sebagai Menteri Kesihatan ketika pandemik Covid-19 yang pernah menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak.


Malah, veteran UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi turut menyuarakan keraguan terhadap pemilihan calon kali ini dan memberi bayangan bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena dalam proses pemilihan tersebut.


Pada masa sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilihat berdepan tekanan berterusan susulan beberapa isu termasuk kontroversi berkaitan hubungan dengan DAP dan pembatalan sambutan Hari Felda.


Kesemua perkembangan ini menggambarkan bahawa UMNO-BN sedang berdepan cabaran dalaman yang tidak kecil menjelang hari pengundian.


Jika sebelum pembubaran DUN ramai melihat BN mempunyai kelebihan, situasi semasa menunjukkan kelebihan tersebut semakin terhakis sedikit demi sedikit.


Dalam masa yang sama, Perikatan Nasional (PN) juga tidak berada dalam keadaan yang lebih baik.


Pergolakan dalaman antara komponen utama gabungan itu semakin ketara, dengan hubungan antara Bersatu dan Pas dilihat tidak lagi seharmoni seperti sebelum ini.


Kemunculan parti baharu yang dikaitkan dengan Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula menambahkan lagi kerumitan dalam gabungan berkenaan.


Malah, isu penggunaan lambang PN yang masih belum mencapai kata sepakat turut mencerminkan ketidaksepaduan gabungan tersebut.


Di tengah-tengah pergolakan yang melanda lawan, PH dilihat sebagai satu-satunya gabungan yang paling stabil, padu dan bersedia untuk menawarkan pentadbiran yang lebih meyakinkan kepada rakyat Johor.


Kesepaduan yang dipamerkan di Bukit Gambir bukan sekadar acara simbolik atau gimik politik, sebaliknya memberi gambaran bahawa PH sudah bersedia memikul amanah mentadbir Johor sekiranya diberi mandat oleh rakyat.


Pengundi Johor hari ini juga bukan lagi kelompok yang mudah dipengaruhi retorik atau drama politik saat akhir.


Mereka mahukan kestabilan politik yang sebenar, pentadbiran yang jelas halatujunya dan kepimpinan yang mampu menjamin kemajuan ekonomi serta masa depan negeri.


"Taruhan kini di tangan rakyat Johor sama ada memilih kestabilan yang nyata bersama PH atau membiarkan masa depan negeri terus terperangkap dalam percaturan elit politik yang tidak berkesudahan," kata Suhaimi lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page