top of page

PH fokus kempen dekati pengundi secara berhikmah, berfakta, dengar masalah

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 56 minutes ago
  • 2 min read
Proses penamaan calon beralhir pagi tadi menandakan bermulanya kempen PRN Negeri Sembilan ke 16
Proses penamaan calon beralhir pagi tadi menandakan bermulanya kempen PRN Negeri Sembilan ke 16

Pakatan Harapan (PH) menyifatkan proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung di seluruh negeri hari ini berjalan lancar, sekali gus menandakan bermulanya gerak kerja kempen untuk mendekati pengundi.


Dalam satu kenyataan, Sekretariat Pusat Media Pilihan Raya Negeri Sembilan Ke-16 Pakatan Harapan berkata, gabungan itu kini bersedia menggerakkan jentera secara menyeluruh bagi membawa agenda kestabilan, pentadbiran bersih dan mesra rakyat.


"Pakatan Harapan secara keseluruhannya berpuas hati dengan kelancaran proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung di semua pusat penamaan calon pagi tadi.


"Selesai sahaja proses rasmi ini, ia menandakan bermulanya fasa penting untuk kami mendekati rakyat demi membawa agenda kestabilan, pentadbiran bersih dan mesra rakyat yang menjadi tunjang kemakmuran Kerajaan Negeri Sembilan," kata kenyataan itu.


Menurut PH, persiapan menghadapi pilihanraya telah dilakukan sejak beberapa bulan lalu dan kini berada pada tahap terbaik dengan kerjasama semua peringkat kepimpinan serta jentera parti.


"HARAPAN bergerak ke medan demokrasi ini dengan kekuatan jentera yang amat padu dan bersemangat tinggi. Persediaan yang telah diatur sejak beberapa bulan lalu kini berada pada tahap terbaik dengan sinergi di semua peringkat," katanya.


PH turut merakamkan penghargaan kepada ribuan penyokong dan sukarelawan yang hadir di pusat penamaan calon pagi tadi, sambil menyifatkan kehadiran itu sebagai petanda sokongan rakyat terhadap gabungan berkenaan.


Bagi menghadapi tempoh berkempen, PH berkata pendekatan yang akan digunakan ialah kempen bersifat hiper-lokal menerusi program turun padang dan kunjungan dari rumah ke rumah.


"HARAPAN telah merangka strategi kempen yang tersusun dan menyeluruh iaitu mengambil pendekatan mesra rakyat (Hyper-Local) dengan kempen secara bersemuka (walkabout) dan dari rumah ke rumah untuk mendengar sendiri denyut nadi dan harapan setiap lapisan pengundi," katanya.


Selain kempen fizikal, PH memaklumkan jentera digital turut digerakkan untuk menyampaikan manifesto dan tawaran parti, khususnya kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama.


"Jentera digital kami siap siaga menyebarkan manifesto dan tawaran parti secara telus, kreatif dan berfakta bagi memastikan maklumat sampai khususnya kepada pengundi kali pertama dan juga bagi menarik seisi keluarga," katanya.


Dalam pada itu, PH menegaskan kempen yang dijalankan akan memberi tumpuan kepada tawaran dasar serta penyelesaian kepada isu rakyat, tanpa terheret dengan polemik politik pihak lawan.


"HARAPAN turut komited untuk menjalankan kempen yang sihat, bebas daripada provokasi melampau dan memfokuskan kepada tawaran serta solusi konkrit demi kesejahteraan sosioekonomi penduduk Negeri Sembilan.


"HARAPAN tidak mahu terperangkap dalam polemik penjajaran kuasa politik yang sedang dilakukan oleh pihak lawan. Kami bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik dengan bersandarkan kepada rekod pencapaian yang terbukti serta kemahuan pembangunan yang mapan," kata kenyataan itu lagi.


PH turut menyeru seluruh pengundi Negeri Sembilan agar keluar mengundi dan memberikan mandat kepada calon-calon gabungan itu bagi meneruskan agenda pembangunan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page