PH-BN Selangor: Kawan Boleh, Lawan Pun Boleh
- Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil

- 2 hours ago
- 2 min read

ULASAN: Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) melalui ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dengan jelas telah menetapkan hala tuju kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN), kerjasama yang ada kini akan diteruskan sehingga tamat penggal pemerintahan Kerajaan Madani.
Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU)16, hubungan PH-BN akan ditentukan oleh keputusan BN untuk terus berkawan atau berlawan dalam gelanggang pilihanraya. Keputusan itu ditelan pahit oleh segelintir anggota KEADILAN terutamanya di Negeri Selangor. Walaupun wujud desakan untuk memutuskan hubungan dengan BN pasca PRN di Johor dan Negeri Sembilan, namun keputusan PMX ditaati dengan penuh kesabaran.
Kenyataan yang hampir serupa turut disuarakan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau menyatakan kerjasama BN-PH akan terus dipertahankan sehingga tamat penggal pemerintahan Kerajaan Madani. Keputusan itu menyebabkan suara mendesak untuk memutuskan hubungan PH-BN yang galak disuarakan oleh sayap Pemuda Umno sebelum ini menjadi sedikit kendur.
Hubungan Umno-Pas di Selangor
Perkara yang sama turut kelihatan berlaku dalam konteks Umno Selangor, tidak dapat dinafikan wujud hubungan antara Umno-Pas di Negeri Selangor sebelum ini yang telah dizahirkan melalui penganjuran Himpunan Daulat Tuanku pada 16 Mei 2026. Namun selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Umno, kelihatan kerancakan hubungan Umno-Pas di Negeri Selangor menjadi sedikit dingin.
Pas Selangor sehingga kini makin kerap melaungkan seruan penyatuan ummah untuk memujuk Umno Selangor agar kembali memperkukuhkan hubungan kerjasama. Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar sebelum ini menyeru agar Umno Selangor menyambut gelombang penyatuan ummah di Negeri Selangor dan seterusnya diperluaskan ke seluruh negara.
Namun sehingga kini tiada kenyataan tuntas yang dikeluarkan oleh Umno Selangor terhadap seruan berkenaan. Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin selaku Pengerusi BN dan Umno Selangor sudah pasti akur dengan keputusan Datuk Seri Zahid \ memandangkan beliau merupakan Setiausaha Politik kepada Presiden Umno.
Kepimpinan PH Selangor telah menerima desakan dari akar umbi yang berkecil hati dengan tindakan Umno Selangor yang sebelum ini secara terang-terangan menjalinkan hubungan dengan Pas Selangor walaupun masih berada dalam kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor.
Kepimpinan PH Selangor setia taat kepada keputusan yang ditetapkan oleh PMX setakat sekarang, kedudukan Kerajaan Negeri Selangor kekal stabil di bawah pemerintahan PH sekiranya Umno Selangor memilih untuk meninggalkan kerjasama di Negeri Selangor.
PH Selangor yakin bentuk kerajaan
Namun Umno Selangor harus berfikir lebih mendalam sekiranya mahu menamatkan kerjasama dengan PH di Negeri Selangor, kekuatan Umno Selangor setakat sekarang hanya mampu menterjemahkan kemenangan di dua kerusi DUN Selangor. PN Selangor kini mempunyai 21 kerusi DUN (10 kerusi DUN milik Pas), gabungan kedua-dua parti politik ini tidak mampu membentuk kerajaan di Negeri Selangor.
Umno Selangor harus lebih bimbang apabila Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Abdul Halim Tamuri menyasarkan 21 kerusi DUN untuk ditandingi oleh Pas menjelang pilihanraya akan datang. Keadaan ini akan menjadikan Umno-BN sebagai gabungan kecil yang mungkin tiada peranan penting dalam kerajaan perpaduan ummah Selangor yang diketuai oleh PN nanti.
PH Selangor sehingga kini masih terbuka dengan kerjasama dengan Umno Selangor, namun jangan disalah ertikan keterbukaan ini sebagai kelemahan. PH Selangor yakin untuk membentuk kerajaan dalam pilihanraya akan datang memandangkan prestasi pemerintahan kerajaan negeri semenjak tahun 2008 yang diyakini oleh seluruh rakyat Negeri Selangor.
Namun ketetapan untuk meneruskan kerjasama dengan Umno-BN diperingkat pusat tidak boleh diketepikan oleh PH Selangor. Terpulanglah kini kepada Umno Selangor untuk membuat keputusan sewajarnya, PH Selangor menyambut sebarang keputusan dengan tangan terbuka.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor




Comments