PH belum muktamad pilih rakan kerjasama PRN Melaka


Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung rakan kerjasama politik yang akan dipilih bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka tidak lama lagi.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata sebarang keputusan berkaitan bentuk kerjasama politik perlu diputuskan melalui Majlis Presiden PH.
"Setakat ini, belum dimuktamadkan dan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan belum ada apa-apa keputusan yang telah dibuat. Belum lagi," katanya lapor media tempatan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13): Hala Tuju dan Cabaran di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, PH dilaporkan sedang meneliti kemungkinan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka termasuk rundingan berkaitan pembahagian kerusi.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini diberi mandat untuk memperincikan kemungkinan kerjasama berkenaan.
Dalam perkembangan sama timbul spekulasi mengenai kemungkinan PH menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun Fahmi sebelum ini menegaskan bahawa belum ada keputusan rasmi berhubung mana-mana rakan kerjasama.
Pada Pilihan Raya Negeri Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam kenyataan memberitahu, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan PRN Melaka ke-16 esok bagi membincangkan tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih serta persiapan lain berkaitan pilihan raya berkenaan.




Comments