Petronas ke mahkamah: Bukan tolak MA63, lihat konteks operasi, kepastian
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Tindakan Petronas Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang membawa persoalan undang-undang ke mahkamah bagi mendapatkan penjelasan berhubung kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasinya di Sarawak selepas wilayah itu menguatkuasakan peraturan selaras Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah suatu pengabaian terhadap semangat Pesekutuan.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (gambar) berkata tindakan Petronas itu adalah untuk mendapatkan penjelasan undang-undang. Hal itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai 'pengkhianatan' terhadap MA63, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks keperluan operasi dan kepastian peraturan.
"Dalam masa yang sama, kebimbangan Sabah dan Sarawak mesti ditangani dengan penuh hormat dan kesungguhan. Ini bukan soal menang atau kalah, tetapi soal kestabilan negara," katanya dipetik laporan media.
Justeru, Hassan menggesa pemimpin Sarawak tidak seharusnya mempersoalkan sama ada tindakan perundangan syarikat berkenaan mendapat kebenaran Perdana Menteri atau tidak.
Beliau mengingatkan, bahawa rekod cemerlang pelaksanaan MA63 di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama tiga tahun yang telah membuktikan keikhlasan kerajaan dalam menangani tuntutan Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, daripada 29 perkara utama MA63 sebanyak 13 telah diselesaikan dengan sembilan daripadanya dilaksanakan di bawah Kerajaan MADANI, sekali gus menafikan dakwaan bahawa Putrajaya sengaja melengah-lengahkan tuntutan Malaysia Timur.
"Itu bukan janji kosong atau retorik politik. Itu adalah pelaksanaan. Kerajaan ini telah melakukan lebih banyak berbanding banyak kerajaan sebelum ini.
"Jika kerajaan ini tidak ikhlas, kita tidak akan menyaksikan kemajuan MA63 pada skala seperti sekarang," katanya yang juga seorang pengamal undang undang.
Sebaliknya, tegas beliau, serangan politik berterusan terhadap Perdana Menteri berhubung isu itu hanya akan menghakis muhibah yang diperlukan bagi menyelesaikan baki tuntutan MA63.
"Dengan rekod pencapaian MA63 yang ada, berikan ruang kepada Kerajaan MADANI untuk menyelesaikan baki tuntutan secara matang demi kestabilan Malaysia," katanya lagi.









Comments