'Kebakaran di Jinjang Selatan dedah kelemahan perancangan perumahan bandar'
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 2 min read

Insiden kebakaran di kawasan penempatan setinggan Jinjang Selatan, Kuala Lumpur disifatkan sebagai kegagalan struktur perumahan bandar serta kelemahan pengurusan keselamatan awam di kawasan berisiko tinggi.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang berkata, beliau telah turun padang ke lokasi kejadian malam tadi bagi menilai sendiri keadaan mangsa serta mendapatkan gambaran sebenar mengenai tahap kesiapsiagaan pihak berkaitan.
"Hasil tinjauan awal di lapangan serta maklum balas yang diterima daripada penduduk dan pihak terlibat menunjukkan bahawa operasi pemadaman berdepan beberapa kekangan logistik, termasuk isu bekalan air dan akses jentera bomba di kawasan penempatan yang padat dan tidak dirancang.
"Perkara ini perlu disiasat secara menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan kerana kelemahan sistemik sebegini boleh mengundang risiko kehilangan nyawa," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kebakaran tersebut turut membangkitkan semula persoalan berhubung status penempatan setinggan di kawasan itu, khususnya berkaitan proses pemindahan dan penyediaan perumahan alternatif yang masih belum dimuktamadkan.
"Ramai penduduk memaklumkan bahawa mereka telah menerima notis atau janji pemindahan sebelum ini, namun sehingga kini masih belum ditempatkan di kediaman tetap yang selamat dan bersesuaian.

"Kelewatan berpanjangan ini menyebabkan mereka terus terdedah kepada risiko kebakaran, banjir dan masalah kesihatan awam," ujarnya.
Jeremy menegaskan bahawa isu tersebut tidak boleh dilihat semata-mata sebagai soal pencerobohan tanah, sebaliknya mencerminkan kegagalan dasar perumahan bandar yang mampan untuk golongan berpendapatan rendah di ibu kota.
"Penduduk setinggan tidak boleh terus dijadikan mangsa keadaan akibat ketidaktentuan dasar dan kurangnya koordinasi antara agensi.
"Kejadian kebakaran ini harus dilihat sebagai satu amaran serius (wake-up call) kepada semua pihak berkuasa bahawa menangguhkan penyelesaian hanya akan mengundang tragedi yang berulang," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyatakan komitmen politik untuk bekerjasama dengan Ahli Parlimen Kepong serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mencari penyelesaian jangka panjang.
Untuk rekod, keadaaan setinggan yang tidak terurus di Kuala Lumpur merupakan legasi kerajaan lalu.
Oleh kerana parlimen Kepong telah dimenangi DAP sejak lebih lima dekad lalu maka kawasan pembangkang telah dinafikan perancangan pembandaran yang baik selama tempoh itu.
Seharusnya Kerajaan Madani segera merangka pelan menangani masalah setinggan dan memberi lebih tumpuan kepada parlimen Kepong setelah kawasan itu menjadi parlimen kerajaan sejak Pilihan Raya Umum 2018 dan 2022.









Comments