top of page

Kes Petronas–Sarawak: Mahkamah cara terbaik tentukan kerangka kawal selia

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 2 min read

Tindakan undang-undang melibatkan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan kerajaan Sarawak serta kerajaan Malaysia berhubung isu industri minyak dan gas di Sarawak seharusnya diserahkan kepada proses mahkamah tanpa campur tangan politik, kata penganalisis politik, Shahbudin Embun.


Beliau berpandangan bahawa gesaan sesetengah pemimpin agar kerajaan campur tangan bagi menghentikan tindakan undang-undang Petronas sebagai tidak wajar, sebaliknya proses mahkamah perlu dihormati demi kepentingan semua pihak.


"Mereka mahu kerajaan campur tangan supaya Petronas tidak meneruskan tindakan itu demi kepentingan mereka. Sedangkan Perdana Menteri (PMX) sudah amat adil dalam isu Perjanjian Malaysia 1963," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, situasi semasa industri turut memberi kesan kepada Petronas termasuk langkah pengurangan kakitangan baru-baru ini yahg mungkin ada hubung kait dengan pengecilan perniagaan gas dan minyak.


"Setahu saya, Petronas terpaksa mengurangkan kira-kira 5,000 kakitangan baru-baru ini. Cucu saya sendiri seorang jurutera kini menganggur," ujarnya.

Shahbudin Embun
Shahbudin Embun

Shahbudin menegaskan bahawa Perdana Menteri perlu menjaga kepentingan semua negeri serta hubungan Persekutuan dan negeri-negeri dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.


Dalam hal kejelasan operasi Petronas di Sarawak, katanya, mahkamah merupakan jalan terbaik menyelesaikan isu berkenaan.


"Semua ini kerana PM mahu menjaga hubungan dengan Sarawak. Biarlah kes ini dibicarakan oleh mahkamah. Jika keputusan menyebelahi mereka, maka terimalah. Jika kita menang, mereka juga perlu terima. Bukan guna tekanan politik," katanya lagi.


Beliau turut menekankan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara hukum yang berteraskan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen dan perlu mematuhinya dalam apa jua keadaan.


"Ikutlah undang-undang kerana negara kita adalah negara hukum. Yang penting negara ini terus berdaulat di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen.


"Kerajaan MADANI telah buat yang terbaik dalam isu ini," katanya lagi.


Untuk rekod, berdasarkan laporan media permohonan Petronas untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi merujuk persoalan undang-undang berhubung penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum syarikat itu di Sarawak akan didengar 16 Mac ini.


Notis usul difailkan secara e-filing pada 10 Januari lalu menamakan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sebagai pihak responden dalam permohonan berkenaan


Pada 12 Januari lalu, dalam satu kenyataan Petronas berkata, permohonan itu bertujuan memastikan syarikat berkenaan dapat terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik.


Menurut Petronas, keputusan memfailkan notis usul berkenaan dibuat susulan perbincangan dan rundingan sejak tahun 2024 bersama syarikat minyak Sarawak, Petros; Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.


Petronas berkata, walaupun rundingan berkenaan menunjukkan kemajuan dalam aspek komersial dan perkongsian termasuk pemeteraian Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) pada 2020, namun masih wujud perbezaan pandangan berkaitan kerangka kawal selia yang terpakai kepada syarikat itu.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page