Kemenangan UMNO dalam PRK Sabah matikan hujah tinggalkan Kerajaan Perpaduan
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Naratif puak tertentu dalam UMNO yang menjadikan prestasi buruk Barisan Nasional (BN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 17 pada November 2025 lalu sebagai hujah agar parti itu meninggalkan Kerajaan Perpaduan diharap berkubur selama lamanya susulan kemenangan BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag minggu lalu.
Pengarah Komunikasi Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Hanani Dhamirah berkata, terbukti dalam PRK 24 Januari lalu BN memperolehi kemenangan besar apabila parti terkuat di Sabah iaitu GRS tidak menurunkan calonnya, dan situasi sama akan berlaku di seluruh negara sekiranya BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan.
"Keputusan PRN Sabah lalu (Nov 2025) yang menyaksikan UMNO hanya memenangi 6 kerusi memang sering dijadikan senjata politik oleh 'puak pemisah' untuk mempertikaikan hala tuju kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
"Namun keputusan PRK DUN Lamag pada Januari 2026 telah mematahkan hujah tersebut.
"BN menang tipis dengan majoriti 153 undi pada PRN-17 (2025), namun pada PRK (Januari 2026), kemenangan BN melonjak kepada 7,269 undi, dengan majoriti besar 5,681 undi.
"Ini bukan peningkatan kecil, tetapi lonjakan sokongan yang signifikan, membuktikan bahawa pendekatan kerjasama, kestabilan politik dan keberadaan dalam kerajaan memberi keyakinan semula kepada pengundi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau ditanya mengenai keputusan PRN Sabah sebelum ini yang menyaksikan UMNO hanya memperoleh enam kerusi, dan kemudian dijadikan bahan serangan terutama oleh barisan pemuda parti itu yang mahu UMNO menjadi pembangkang atau menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama Pas.

Justeru, Hanani berpandangan, pada masa depan naratif puak pemisah yang menggunakan keputusan PRN sebagai alasan menolak kerjasama sudah tidak relevan, dan tidak perlu diperpanjangkan lagi oleh pemuda parti berkenaan.
Katanya, politik perpecahan hanya akan melemahkan Kerajaan Perpaduan dan mengkhianati mandat rakyat yang mahukan kestabilan serta penyelesaian masalah, bukannya konflik berpanjangan.
Pada 24 Januari lalu, BN mengekalkan kerusi DUN Lamag selepas Mohd Ismail Ayob memperoleh 5,681 majoriti undi majoriti menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek yang mewakili Warisan.
PRK DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.
Dalam PRN Sabah ke-17 pada November lau, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag untuk penggal kedua selepas memenangi saingan lima penjuru dengan majoriti hanya 153 undi.









Comments