Petani kecil lega bantuan tambahan insentif pembajakan, BUDI Agri-Komoditi
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman bantuan tambahan kepada pesawah, petani dan pekebun kecil yang terkesan akibat kenaikan kos bahan api, semalam.
Menurut beliau, langkah tersebut membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menangani kesan krisis tenaga global terhadap sektor pertanian negara.
Beliau berkata, kenaikan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM160 kepada RM300 sehektar akan membantu pesawah yang bakal memulakan musim penanaman dalam masa terdekat.
"(Kenaikan ini) tentunya memberikan kelegaan kepada sebahagian pesawah padi yang bakal memulakan musim penanaman pada bulan ini," katanya.
Dalam masa sama, peningkatan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi daripada RM300 kepada RM400 sebulan pula dilihat sebagai langkah signifikan dalam membantu lebih 200,000 petani dan pekebun kecil yang terkesan.
"Bang Mat turut menghargai langkah kerajaan memudah cara pembelian diesel bagi kegunaan jentera pertanian melalui pelonggaran syarat permit khas untuk pembelian bahan api melebihi 20 liter, yang pastinya akan melancarkan operasi di lapangan," ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa semua langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan pesawah dan petani.
"Bang Mat yakin bantuan-bantuan tambahan yang diumumkan ini bukanlah langkah yang terakhir. Tentunya Kerajaan dari semasa ke semasa akan melihat kesan krisis tenaga global ke atas sektor keterjaminan makanan, dan akan mempertimbangkan langkah mitigasi tambahan sekiranya diperlukan," katanya lagi.
Tambah beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kekal komited memastikan sektor pertanian negara terus berdaya tahan serta mampu menjamin bekalan makanan rakyat.




Comments