top of page

Petaling Jaya dapat hospital, Hulu Selangor perlu diberi tumpuan

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • May 29
  • 2 min read

Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor mendesak kerajaan memberi tumpuan kepada keperluan kawasan semi urban dan luar bandar seperti Hulu Selangor.


Dr Sathia Prakash Nadarajan (gambar) berkata, daerah tersebut yang meliputi hampir 20 peratus keluasan negeri Selangor dengan populasi dianggarkan mencecah 300,000 penduduk kini berdepan peningkatan keperluan kesihatan berikutan pertumbuhan kawasan perumahan baharu serta pembangunan industri yang semakin pesat di daerah berkenaan.


Justeru, usaha mewujudkan sebuah hospital pakar kerajaan berskala besar di Hulu Selangor wajar diberi perhatian serius sebagai akses kesihatan lebih dekat dan menyeluruh kepada rakyat.


"Daerah itu masih bergantung kepada hospital luar bagi mendapatkan rawatan. Bagi sesetengah penduduk, perjalanan mendapatkan rawatan boleh mengambil masa lebih satu jam bergantung kepada lokasi dan keadaan trafik.


"Dalam situasi kecemasan seperti strok, serangan jantung, kemalangan jalan raya atau kehamilan berisiko tinggi, kelewatan beberapa minit sahaja boleh menjadi penentu antara hidup dan mati," katanya.


Beliau yang juga Penyelaras Parlimen Hulu Selangor sebelumnya mengulas cadangan pembangunan sebuah hospital kerajaan di Petaling Jaya seperti dilapor media baru-baru ini.

Sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari atas usaha meluluskan tapak pembinaan hospital berkenaan beliau berkata, ia langkah positif dan penting dalam memenuhi keperluan kesihatan penduduk bandar terutama Petaling Jaya yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.


"Pembangunan kesihatan yang seimbang perlu membabitkan semua kawasan tanpa hanya tertumpu kepada bandar dan kawasan utama sahaja.


"Pertumbuhan penduduk yang pesat di Hulu Selangor dijangka meningkatkan tekanan terhadap hospital-hospital utama di Lembah Klang sekiranya tiada kemudahan kesihatan berskala besar diwujudkan.


"Hospital Petaling Jaya penting. Tetapi Hulu Selangor juga tidak boleh terus dipinggirkan," tambahnya sambil menegaskan penduduk Hulu Selangor yang menyumbang kepada pembangunan negeri juga berhak mendapat akses rawatan yang lebih dekat, cepat serta berkualiti.


Sebagai rekod, penduduk Hulu Selangor ketika ini perlu ke Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh atau Hospital Slim River di Perak bagi mendapatkan rawatan.


Hospital Kuala Kubu Bharu yang beroperasi sejak tahun 1936 hanya mempunyai sekitar 150 katil pesakit hanya dikategorikan sebagai hospital awam tanpa pakar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page