Pesta Tanglung erat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Jementah


Sambutan Pesta Tanglung 2026 anjuran Kelab Rekreasi Taman Jementah Baru, Segamat semalam menjadi ruang mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum menerusi penghayatan budaya dan semangat kebersamaan.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran berkata, sambutan yang berlangsung di sebelah Gelanggang Taman Jementah Baru itu berlangsung meriah dengan kehadiran masyarakat setempat bersama keluarga dan sahabat.
"Pesta Tanglung bukan sekadar perayaan tradisi, tetapi membawa makna kebersamaan, keharmonian dan hubungan kekeluargaan.
"Sambutan seperti ini juga membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk saling mengenali serta meraikan keunikan budaya yang menjadi kekuatan negara kita," katanya dalam muat naik di media sosial.

Menurut Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu, pelbagai acara hiburan disediakan sepanjang malam, selain minuman percuma, persembahan istimewa dan trak makanan untuk dinikmati pengunjung.
Yuneswaran berkata, beliau turut berbesar hati bertemu mantan ADUN Jementah, Ng Kor Sim yang hadir sebagai wakil rasmi Ahli Parlimen Kluang, Khoo Poay Tiong.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Rekreasi Taman Jementah Baru serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan sambutan berkenaan.
"Selamat menyambut Pesta Tanglung kepada seluruh masyarakat Cina, khususnya di Jementah dan Parlimen Segamat," katanya.




Comments