Peruntukan kerajaan: Pemuda MCA jangan putar belit fakta - Jalex Lee
- Suara Keadilan

- May 27
- 2 min read

Kenyataan didakwa oleh Ketua Penerangan Pemuda MCA berhubung isu peruntukan kerajaan untuk rakyat mengundang reaksi balas daripada kepimpinan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat.
Exco AMK Malaysia, Jalex Lee (gambar) mendakwa, tiada pihak yang menafikan bahawa peruntukan kerajaan adalah hak rakyat, namun beliau mempersoalkan pendekatan sesetengah pihak yang didakwa menunggang bantuan tersebut untuk kepentingan politik.
Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong yang menyatakan peruntukan kerajaan bukan milik mana-mana parti politik.
"Tiada sesiapa yang nafikan bahawa peruntukan kerajaan adalah hak rakyat. Namun hakikatnya, bukan kami yang memulakan budaya menunggang dan mengambil kredit terhadap peruntukan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Barisan Nasional (BN) di Johor didakwa konsisten menggunakan bantuan kerajaan bagi meraih sokongan politik, termasuk melalui pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Beliau turut mempersoalkan kaedah agihan bantuan tersebut yang disifatkan menyusahkan rakyat.
"Sehingga hari ini saya masih tidak faham mengapa penerima bantuan perlu dihimpunkan di sesuatu tempat untuk menerima bantuan secara tunai, sedangkan sistem yang lebih tersusun dan efisien sudah pun dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui bantuan seperti STR yang disalurkan terus ke akaun bank dan SARA yang menggunakan IC penerima secara terus," ujarnya.
Tambah beliau, pendekatan tersebut menimbulkan persoalan sama ada ia bertujuan mencipta persepsi politik dan publisiti semata-mata.
Dalam pada itu, Jalex Lee menegaskan bahawa pihaknya hanya berusaha memperjelaskan fakta kepada rakyat mengenai sumber peruntukan dan usaha sebenar kerajaan.
"Rakyat berhak mendapat maklumat yang tepat, bukannya persepsi yang sengaja dibentuk demi kepentingan politik tertentu," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil dan bersatu, dan setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu memainkan peranan memperkukuhkan kestabilan politik.
Namun, beliau mendakwa masih wujud sikap saling menafikan dan memperlekehkan antara parti, khususnya dalam pentadbiran MCA-BN di Johor.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu pengagihan jawatan di peringkat tempatan seperti Ahli Majlis, Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung yang menurutnya masih belum diberikan secara adil kepada Pakatan Harapan (PH).
"Jika benar mahu bercakap soal perpaduan dan kerjasama politik, sudah tiba masanya pemimpin BN Johor belajar tentang erti hormat, keikhlasan dan pengiktirafan terhadap usaha bersama," katanya.
Beliau menegaskan rakyat perlu mengetahui keadaan sebenar dan tidak terus terpengaruh dengan apa yang disifatkannya sebagai “sandiwara politik murahan”.




Comments