Peruntukan kepada Sabah lebih daripada hasil - PM
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Sebagai bukti komitmen berterusan terhadap pembangunan Sabah, Kerajaan MADANI memperkukuh peruntukan kepada negeri itu sehingga mencecah RM17 bilion bagi tahun ini dan tahun hadapan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan yang disalurkan Kerajaan MADANI kepada Sabah bagi tahun ini dan tahun hadapan jauh melebihi jumlah hasil yang dikutip di negeri itu, iaitu sekitar RM10 bilion setahun bagi tahun 2022, 2023 dan 2024.
''Hasil tersebut termasuk bayaran tunai hasil petroleum lima peratus serta cukai langsung dan tidak langsung yang lain.
''Ini bermakna, Kerajaan MADANI telah membelanjakan lebih daripada hasil keseluruhan pendapatan di Sabah.
''Jumlah perbelanjaan sebenar untuk Sabah bagi tahun 2022 pula adalah sekitar RM13 bilion.
''Di bawah Kerajaan MADANI, perbelanjaan untuk negeri itu telah ditingkatkan kepada sekitar RM14 bilion bagi tahun 2023 dan 2024,'' katanya dalam ucapan penerangan di Dewan Rakyat tentang pendirian kerajaan berhubung pemberian khas Persekutuan kepada Negeri di Bawah Bayu itu.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, di bawah Belanjawan 2026, kerajaan terus mengambil kira keperluan dan kepentingan pembangunan di Sabah.
Katanya, peruntukan pembangunan 2026 mencecah hampir RM7 bilion iaitu tertinggi berbanding semua negeri lain.
''Di bawah RMK13, projek yang disenaraikan juga telah mengambil kira permohonan keutamaan Kerajaan Sabah seperti Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta); Jalan dari Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta) dan Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1a berjumlah RM200 juta.
''Kerajaan MADANI juga telah meneruskan semula pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM14 bilion merangkumi RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion dibiayai melalui pinjaman.
''Sejak 2024 juga, Kerajaan telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion untuk projek air Sabah dan ini dijangka siap pada tahun hadapan,'' jelas beliau.
Menurut Anwar lagi, Kerajaan Persekutuan juga menyokong pertumbuhan sektor minyak dan gas di Sabah supaya dimanfaatkan rakyat di Sabah.
Oleh itu katanya, pada Disember 2021, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah dimeterai dengan Kerajaan Sabah dengan hasrat meningkatkan penyertaan anak Sabah untuk berkecimpung dalam industri minyak dan gas Sabah.
Dengan sokongan Kerajaan MADANI, Anwar memaklumkan kerjasama tersebut membuahkan hasil dengan kontraktor minyak dan gas Sabah memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024.
''Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan Sabah ke atas produk petroleum bagi tujuan menjana hasil tambahan kepada Sabah sekitar RM2 bilion sejak tahun 2022.
''Kerajaan MADANI telah sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak, meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun untuk kesejahteraan Sabah.
''Komitmen ini adalah berterusan supaya segala obligasi Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat dipenuhi selain menambah baik Pemberian Khas Sabah sesuai dengan keperluan perkhidmatan Kerajaan Sabah dan kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan.
''Inilah tekad Kerajaan MADANI dan sepertimana janji-janji lain, ia akan direalisasikan,'' tegas Anwar.