Perumahan Kos Rendah Keutamaan Kerajaan Selangor
- Suara Keadilan

- 48 minutes ago
- 3 min read

Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr. Ab Halim Tamuri harus menarik semula dakwaan terhadap Kerajaan Madani Selangor terkait isu pembangunan rumah mampu milik.
Beliau mendakwa seolah olah Kerajaan Madani Selangor tidak serius membantu golongan muda memiliki rumah mampu milik dalam keadaan krisis kos sara hidup yang kian meruncing pada masa kini. Usaha Kerajaan Selangor dalam isu ini didakwa sekadar projek yang wujud di atas kertas sahaja.
Keprihatinan Dr Halim Tamuri terhadap kesejahteraan rakyat Negeri Selangor seharusnya dipuji namun beliau harus diingatkan kembali bahawa Kerajaan Madani Selangor masih meneruskan dasar 20% peruntukkan perumahan kos rendah dalam setiap projek pembangunan perumahan melibatkan pemaju.
Kerajaan negeri pertama dasar 20% rumah kos rendah
Kerajaan Selangor adalah kerajaan negeri yang pertama di Malaysia memperkenalkan dasar tersebut semenjak zaman pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat, dasar tersebut tidak pernah dimansuhkan sehingga kini. Dasar tersebut yang dikuatkuasakan melalui Kanun Tanah Negara 1965 menuntut agar setiap pembangunan perumahan di Negeri Selangor perlu memperuntukkan unit rumah kategori kos rendah sebanyak 10% hingga 20%. Justeru dapat digambarkan dalam setiap 10 rumah baru yang dibangunkan pemaju di Negeri Selangor, diwajibkan satu atau dua unit rumah kos rendah untuk dibangunkan bersama.

Rumah kos rendah di Negeri Selangor dapat difahami sebagai rumah yang dijual sekitar harga RM 25,000 hingga RM 42,000 dengan keluasan minimum sekitar 650–700 kaki persegi. Majoriti pemaju tidak mahu membangunkan projek perumahan sebegini kerana ia tidak menjanjikan keuntungan yang lumayan, namun Kerajaan Madani Selagor mewajibkan pembinaan projek perumahan tersebut bagi memastikan golongan muda terutamanya berpeluang memiliki rumah sendiri.
Laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menunjukkan bahawa pada tahun 2020 terdapat 1.68 juta unit rumah untuk dijual di Negeri Selangor, 13% daripada jumlah tersebut merupakan rumah mampu milik untuk pasaran golongan muda dan kurang kemampuan. Jumlah tersebut dijangka meningkat kepada 17.1% pada tahun 2026 memandangkan Kerajaan Madani Selangor secara agresif menggalakkan pemaju untuk membangunkan projek-projek perumahan baru di bawah pelan Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Skim Jaminan Kredit Perumahan bantu generasi muda
Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan pula telah melakukan reformasi kepada Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu lebih ramai golongan muda untuk memiliki rumah sendiri. Kerajaan Madani telah melakukan perubahan kepada SJKP dengan memberi jaminan kepada bank untuk pembeli rumah pertama yang tiada slip gaji tetap (pekerja gig, peniaga kecil, kontrak).
Perubahan ini membantu golongan muda yang tidak mempunyai pendapatan tetap namun berkelayakan untuk membeli rumah dengan jaminan kerajaan. Malah dalam Belanjawan 2026, Kerajaan Madani meneruskan SJKP dengan jaminan pembiayaan sehingga RM 20 bilion bagi membantu lebih 80,000 golongan muda berkelayakan membuat pinjaman perumahan.
Seharusnya Dr Halim Tamuri membuat kajian secara mendalam sebelum melontarkan sebarang dakwaan terhadap dasar yang telah disusun oleh Kerajaan Madani, tuduhan tersebut kini kelihatan dangkal apabila diperhalusi dengan fakta dan data.
Malah boleh juga disifatkan Pas Selangor telah menghalang golongan muda untuk memiliki rumah sendiri melalui tindakan mereka menolak penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB). Menteri Besar Selangor menyatakan bahawa Negeri Selangor adalah antara negeri yang memerlukan kelulusan PSB demi memberikan nafas baharu khususnya kepada kawasan bandar bagi membangunkan projek perumahan.
Ternyata Pas Selangor lebih berminat untuk bermain politik tanpa meletakkan kesejahteraan golongan muda di Negeri Selangor sebagai keutamaan. Persoalan timbul, dari sudut mana Dr Halim Tamuri melihat bahawa projek pembangunan rumah kos rendah di Negeri Selangor hanya wujud di atas kertas?
Seharusnya golongan muda di Negeri Selangor dapat membezakan antara intan dengan permata dalam perbincangan isu kesejahteraan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor




Comments