top of page

Pertumbuhan Asia Tenggara dijangka perlahan, M'sia lebih baik dengan subsidi bersasar

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 17 hours ago
  • 3 min read

Pertumbuhan Asia Tenggara dijangka mengalami kelembapan pada tahun ini susulan tekanan berganda daripada krisis tenaga global dan ketidaktentuan perdagangan antarabangsa, demikian menurut kumpulan Bank Dunia.


Pertumbuhan rantau Asia Timur dan Pasifik dijangka susut kepada 4.2 peratus pada 2026 sebelum pulih semula pada 2027, dengan China turut mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan akibat kelemahan permintaan domestik dan masalah sektor hartanah, katanya dalam laporan East Asia and Pacific Economic Update yang disiarkan semalam.


Kelembapan turut dipacu oleh kenaikan harga tenaga susulan konflik di Asia Barat serta gangguan bekalan tenaga termasuk kesan penutupan laluan strategik Selat Hormuz.


Menurut laporan itu, konflik berpanjangan berpotensi memberi kesan besar kepada ekonomi global, dengan kenaikan harga bahan api sehingga 50 peratus boleh mengurangkan pendapatan isi rumah di rantau ini antara 3 hingga 4 peratus, selain menjejaskan keselamatan makanan.


Antara negara ASEAN, laporan itu menyebut Vietnam dijangka mengalami penurunan paling ketara apabila pertumbuhan ekonominya diunjurkan merosot kepada sekitar 6.3 peratus pada 2026 berbanding lebih 8 peratus tahun sebelumnya.


Thailand pula dilihat antara paling terdedah, dengan pertumbuhan dijangka merosot kepada hanya 1.3 peratus berbanding 2.4 peratus sebelum ini, dipengaruhi oleh hutang isi rumah yang tinggi serta ketidakstabilan politik dalaman.


Negara lain turut menunjukkan trend perlahan termasuk Indonesia (4.7% berbanding 5.1%), Malaysia (4.4% berbanding 5.2%), Kemboja (3.9% berbanding 4.8%) dan Laos (3.5% berbanding 4.5%).


Timor-Leste juga dijangka mencatat sedikit penurunan, manakala Myanmar menjadi satu-satunya negara yang menunjukkan pemulihan sederhana selepas pertumbuhan negatif sebelum ini.


Naib Presiden Bank Dunia bagi Asia Timur dan Pasifik, Carlos Felipe Jaramillo berkata, rantau ini masih mencatat prestasi lebih baik berbanding banyak kawasan lain di dunia namun cabaran struktur perlu ditangani segera.


"Namun untuk mengekalkan pertumbuhan memerlukan negara-negara terbabit menangani cabaran struktur dan memanfaatkan peluang era digital bagi meningkatkan produktiviti serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan," katanya dipetik daripada laporan itu.


Dalam masa sama, Pengarah Penyelidikan Bank Dunia, Aaditya Mattoo memberi amaran bahawa konflik berpanjangan di Asia Barat boleh meningkatkan tekanan ekonomi dengan lebih ketara.


"Sokongan bersasar kepada rakyat dan perniagaan boleh membantu mengekalkan pekerjaan, manakala pembaharuan struktur penting untuk merangsang pertumbuhan jangka panjang," katanya.


Laporan itu turut mengenal pasti lonjakan eksport dan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) menjadi tumpuan pada 2025, khususnya di Malaysia, Thailand dan Vietnam.


AI juga berpotensi meningkatkan pertumbuhan produktiviti, namun penggunaannya di rantau ini masih terhad disebabkan jurang dari segi kesalinghubungan dan kemahiran.


Hanya sekitar 13 hingga 17% anak syarikat multinasional di China dan Thailand kini menggunakan AI iaitu kira-kira satu pertiga daripada kadar di negara perindustrian.


Dalam konteks krisis tenaga global, Malaysia dilihat antara negara yang lebih bersedia dari segi dasar apabila telah melaksanakan pendekatan subsidi bersasar lebih awal bagi mengawal tekanan kos kepada rakyat dan fiskal negara.


Kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim turut memperkenalkan beberapa inisiatif bagi memperkukuh daya tahan ekonomi termasuk memastikan bekalan bahan api kekal stabil, mengawal ketirisan subsidi serta menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada golongan sasar.


Selain itu, kerajaan juga berusaha mempercepat peralihan tenaga melalui pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, pengukuhan kecekapan tenaga, serta menarik pelaburan baharu dalam sektor teknologi tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan saranan Bank Dunia.


Pendekatan ini dilihat penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada import tenaga serta meminimumkan kesan turun naik harga global terhadap ekonomi domestik.


Secara keseluruhan, perkembangan ini menunjukkan Asia Tenggara kini berdepan cabaran ekonomi yang kian kompleks, dengan krisis tenaga global dan ketidaktentuan geopolitik menjadi faktor utama yang menekan pertumbuhan.


Dalam hal ini, Malaysia perlu terus memperkukuh dasar dan reformasi ekonomi bagi memastikan ketahanan dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page