top of page

'Ada sebar berita palsu pura-pura bertanya, elakkan dosa jariah'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (gambar), menegur tindakan segelintir pihak yang didakwa menyebarkan berita palsu berhubung isu penghantaran diesel ke Filipina.


Menurut beliau, pihaknya menerima beberapa tangkap layar yang mendakwa kononnya kerajaan menghantar 329,000 tong diesel ke negara berkenaan, walaupun perkara itu telah dinafikan oleh pihak berkuasa.


"Ada juga yang licik menyebar berita palsu ini dengan tanda soal, pura-pura bertanya dan lain-lain


"Mereka tahu dan faham bahawa berita itu tidak benar tetapi merelakan cacian dan makian serta disebarkan tanpa batas," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia membuka ruang kepada cacian dan makian dalam kalangan masyarakat, malah lebih mendukacitakan apabila ada dalam kalangan agamawan yang turut terlibat.


"Walaupun diperbetulkan dengan berita yang benar, masih ramai yang berpegang dengan berita palsu tersebut malahan meneruskan kata-kata kesat dan tidak baik," jelasnya.


Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya, selaras dengan tuntutan agama dalam Surah Al-Hujurat ayat 6.


"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya"


Tambah beliau, penyebaran maklumat sahih merupakan satu bentuk amal jariah, manakala penyebaran berita palsu boleh membawa kepada “dosa jariah” yang berpanjangan.


"Sebar berita sahih dapat pahala, sebar berita palsu dapat dosa. Banyakkan amal jariah, elakkan dosa jariah," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page