Minyak habis meter berjalan: Stesen tiada sistem "henti automatik", jelas KPDN
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Sebuah stesen minyak di Segambut, Kuala Lumpur didapati tidak dilengkapi sistem pengesan isipadu automatik hingga mengakibatkan seorang pengguna terpaksa membayar lebih sedangkan minyak di pam telah kehabisan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Dr Fuziah Salleh hasil siasatan mendapati kejadian berpunca daripada kehabisan stok diesel ketika pelanggan melakukan proses pengisian.
Stesen terbabit telah diberikan amaran keras supaya meningkatkan pemantauan operasi dan memastikan pematuhan penuh terhadap peraturan, katanya.
“Dalam insiden itu, meter pam terus merekodkan jumlah bayaran walaupun bekalan diesel telah habis.
“Siasatan mendapati stesen minyak itu tidak dilengkapi sistem pengesan isipadu automatik atau ciri ‘automatic cut-off’ apabila stok kehabisan, sebaliknya bergantung kepada kaedah pemeriksaan manual,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan seorang pengguna yang tidak berpuas hati apabila meter di pam minyak terus menunjukkan pengisian sedangkan stok minyak telah habis.
Fuziah berkata jumlah sebenar diesel diisi pengguna terbabit adalah RM232.07 dan pihak stesen minyak telah memulangkan bayaran penuh kepada pada 9 April.
"Pengadu telah bersetuju dengan penyelesaian tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Fuziah berkata pemeriksaan teknikal turut mendapati semua pam minyak di premis tersebut dalam tempoh pengesahan, manakala ujian menggunakan sukat isipadu cecair (SIC) 20 liter menunjukkan bacaan berada dalam had selisih dibenarkan.
"Selain itu, semakan lesen di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 mendapati lesen barang kawalan berjadual (CSA) dan lesen kebenaran pengeluaran petrol (PDA) stesen berkenaan sah dan masih berkuat kuasa.
“Kejadian ini adalah bersifat terpencil dan tidak mencerminkan keadaan keseluruhan sistem bekalan bahan api yang kekal stabil dan terkawal,” tegas kementerian.
Fuziah menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden berkenaan.




Comments