top of page

Kurangkan beban, 10,000 peniaga dapat diskaun sewa 50 peratus

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 hours ago
  • 2 min read
HANNAH YEOH beramah mesra dengan kanak-kanak yang menyertai perlawanan sepak takraw selepas merasmikan Program Aktif Putrajaya 2026 di Putrajaya, 12 April 2026. Foto Ihsan Perbadanan Putrajaya melalui Facebook
HANNAH YEOH beramah mesra dengan kanak-kanak yang menyertai perlawanan sepak takraw selepas merasmikan Program Aktif Putrajaya 2026 di Putrajaya, 12 April 2026. Foto Ihsan Perbadanan Putrajaya melalui Facebook

Seramai 10,000 peniaga di Kuala Lumpur berpeluang menikmati diskaun sewa tapak sebanyak 50 peratus selama dua tahun hingga tahun depan, demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.


Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Labuan merupakan antara pihak berkuasa tempatan terawal yang mengumumkan inisiatif tersebut bagi meringankan kos sara hidup peniaga.


“Kami ada senarai panjang untuk (penerima di bawah) DBKL iaitu 10,000 di semua tapak termasuk medan selera dan pasar,” katanya selepas merasmikan Program Putrajaya Aktif di Putrajaya hari ini.


Pengurangan kadar sewaan tapak penjaja dan premis tertentu di bawah seliaan DBKL itu berkuat kuasa dari 1 April hingga 31 Disember 2027 melalui potongan 50 peratus secara menyeluruh dengan kadar sewaan minimum ditetapkan pada kadar RM50 sebulan.


Penyewa yang layak perlu menjelaskan sebarang tunggakan sedia ada sebelum menikmati insentif pengurangan kadar sewa itu.


Hannah berkata Perbadanan Putrajaya pula sedang meneliti langkah yang sama termasuk menilai bentuk bantuan tambahan selain pengurangan kadar sewa.


Jelasnya kerajaan memilih pendekatan mengurangkan kadar sewa sebagai langkah utama membantu rakyat berbanding memperkenalkan subsidi baharu selaras dengan keperluan mengimbangi kedudukan fiksal negara ketika ini.


“Apabila kami kurangkan sewa, kami perlu cari sumber hasil lain kerana kami juga berdepan peningkatan kos operasi termasuk kenaikan harga minyak,” katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan inisiatif sukan kos rendah di Putrajaya sebagai usaha menangani isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak bandar.


Program itu melibatkan kelas percuma seperti sepak takraw dan lompat tali yang tidak membebankan keluarga dari segi kos di samping mampu dipraktikkan sendiri oleh kanak-kanak di rumah, katanya.


“Kelas ini diadakan dua kali sebulan melibatkan 50 peserta setiap sesi di empat lokasi sekitar Putrajaya dan dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya.


Menurut beliau, program itu turut melibatkan kerjasama Kementerian Kesihatan melibatkan aspek pemakanan dan pemantauan kesihatan.


Tambahnya kerajaan juga merancang mendapatkan data berkaitan kanak-kanak obes di Putrajaya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan intervensi bersasar.


Putrajaya dipilih sebagai lokasi perintis bagi program ini sebelum ia diperluaskan ke kawasan lain termasuk Kuala Lumpur bergantung kepada keberkesanan pelaksanaannya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page