Peningkatan Pemberian Khas Interim RM1.5 bilion bukti PM bela Sabah - Rufinah
- Redzuan Shamsudin

- 6 days ago
- 2 min read
Updated: 6 days ago

Peningkatan Pemberian Khas Interim kepada Wilayah Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sebagaimana diumumkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim disambut baik Ketua Wanita KEADILAN Sabah.
Ketuanya, Datin Rufinah Pengeran (gambar) berkata pengumuman sempena sambutan Pesta Kaamatan di Penampang itu menunjukkan kesungguhan Kerajaan MADANI melalui pendekatan rundingan berterusan menunjukkan kesungguhan yang luar biasa.
"Pengumuman ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah melalui rundingan konstruktif antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pertambahan peruntukan yang pertama sebesar itu dalam sejarah Malaysia diharap dapat diterjemahkan kepada lebih banyak program pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada golongan wanita, ibu tunggal, usahawan kecil serta belia wanita di seluruh Sabah.
Dalam masa sama, Rufinah mempertikaikan kritikan sesetengah pihak yang mendakwa bayaran tersebut masih bersifat interim dan belum menyelesaikan sepenuhnya tuntutan Sabah.

"Hakikatnya, semasa pentadbiran terdahulu yang kini dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin Warisan, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan tidak juga berjaya diselesaikan.
"Malah, bayaran interim yang diterima Sabah ketika itu hanyalah sekitar RM50 juta setahun, jauh lebih rendah berbanding RM1.5 bilion yang diumumkan hari ini," jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa peningkatan tersebut merupakan satu langkah besar ke hadapan biarpun belum menjadi penyelesaian muktamad.
"Walaupun ia belum penyelesaian muktamad, peningkatan bayaran interim adalah satu langkah besar ke hadapan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat Sabah," ujarnya.
Tambah Rufinah, rakyat lebih menghargai tindakan dan hasil di bawah pentadbiran PM Anwar berbanding retorik politik semata-mata.
Justeru katanya, Wanita KEADILAN Sabah percaya bahawa rakyat lebih menghargai tindakan dan hasil berbanding retorik politik.
"Kami menyeru semua pihak agar bersama-sama menyokong usaha pembangunan Sabah dan memastikan manfaat yang diterima dapat dirasai oleh seluruh rakyat, khususnya wanita dan keluarga yang menjadi tunjang kesejahteraan negeri ini," tambah beliau.
Anwar ketika mengumumkan perkara itu pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2026 di Penampang menegaskan Kerajaan Persekutuan komited melaksanakan tuntutan MA63, sekali gus membuktikan pentadbiran pimpinannya tidak berniat menafikan hak Sabah.
PM berkata, Kerajaan Persekutuan sedang memperhalusi mekanisme terbaik untuk memastikan tuntutan 40 peratus hasil Sabah dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berlandaskan peruntukan perundangan.
"Kita sedaya upaya melaksanakan janji kita. Saya mahu rakyat Sabah tahu bahawa memang harus diberi perhatian mengenai (tuntutan) 40 peratus ini," katanya dipetik ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2026.




Comments