top of page

Pertahan perpaduan Melayu, Cina, India kunci kecemerlangan Selangor - MB

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
DS Amirudin berucap dalam Pesta Kebudayaan Chithirai Perpaduan DUN Sentosa 2026. Foto FB Amirudin Shari
DS Amirudin berucap dalam Pesta Kebudayaan Chithirai Perpaduan DUN Sentosa 2026. Foto FB Amirudin Shari

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan kepentingan memelihara keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia dengan menekankan nilai saling memahami dan menghormati antara kaum serta agama.


Beliau berkata, Malaysia beruntung kerana memiliki kepelbagaian ketamadunan yang membolehkan rakyat hidup bersama dan saling belajar antara satu sama lain.


"Kita di Malaysia sewajarnya rasa beruntung kerana kita mempunyai pelbagai ketamadunan yang dapat hidup dan belajar antara satu sama lain," kata beliau ketika menyampaikan ucapan pada Program Pesta Kebudayaan Chithirai Perpaduan DUN Sentosa 2026, petang tadi.


Menurut beliau, kawasan diwakilinya Batu Caves yang terletak dalam DUN Sungai Tua menjadi contoh jelas keharmonian tersebut, apabila tempat itu menjadi lokasi suci bagi masyarakat India beragama Hindu yang menarik kehadiran ratusan ribu penganut pada setiap tahun, tetapi ditoleransi oleh kaum Melayu dan Cina di sana.


"Saya seorang Melayu dan Islam, di satu sisi saya rasa sangat menarik kerana walaupun beragama Islam, sebagaimana dipesan oleh pemimpin kita Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kita harus jadi pimpinan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan keturunan," katanya.


Beliau juga mengingatkan bahawa prinsip dalam Rukun Negara menuntut rakyat bersikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya, sambil mengekalkan tradisi Melayu dan Islam sebagai asas negara.


DS Amirudin diperlihatkan alat musik tradisional kaum India
DS Amirudin diperlihatkan alat musik tradisional kaum India

"Kita bersikap terbuka dengan tradisi kebudayaan masyarakat lain, maknanya tradisi Melayu dan Islam memang asas dalam negara kita.


"Namun kita bersikap terbuka dengan tradisi kebudayaan masyarakat lain kerana keterbukaan itu akan menjadikan kita lebih kaya, lebih bermakna hidup sebagai orang Malaysia dan bangsa Malaysia," ujarnya.


Dalam pada itu, Amirudin menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan perpaduan jika tidak ditangani dengan baik.


"Di saat dunia dan mungkin dalam negara kita berlaku sentimen perkauman menakutkan, saya berharap kita dapat mengekalkan rasa hormat menghormati, yang bukan lahir daripada hanya sikap hormat tetapi harus sampai ke tahap peringkat faham pelbagai kebudayaan, faham latar belakang dan pantang larang antara kita."


Beliau menjelaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi kedudukan tertentu kepada Melayu dan Islam, namun dalam masa sama menjamin hak kaum lain untuk mengamalkan budaya dan kepercayaan masing-masing, termasuk melalui kewujudan sekolah jenis kebangsaan.


"Saya letak komitmen yang jelas, sebagai MB Selangor, tanggungjawab saya untuk melindungi semua kaum hidup bersama. Benarkan semua amal tradisi, kepercayaan masing masing tanpa rasa takut dan bimbang."


Tambah Amirudin, kerajaan negeri Selangor sejak 2008 juga telah menubuhkan jawatankuasa melibatkan lima agama bagi membantu pengurusan rumah ibadat serta menyelesaikan isu berkaitan tanah dan pembangunan rumah ibadah secara berhemah.


"Saya anggap tanggungjawab ini pertahan semua orang, semua kaum. Pastikan hidup aman damai dan kita tidak terpisah dengan isu perkauman sempit semata mata untuk dapat keuntungan politik dan perhatian umum," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page