top of page

Pertahan kesucian agama: Matang, berakhlak dalam bertindak

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 22 minutes ago
  • 2 min read

Semua pihak di negara ini diseru agar menghormati prinsip Rukun Negara dan memelihara keamanan serta keharmonian dalam masyarakat majmuk yang merupakan tanggungjawab bersama setiap rakyat Malaysia.


Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, Dr Wan Muhammad Zulhusni Abdul Halim (gambar) berkata, jika persengketaan dan budaya saling menyakiti terus menjadi kebiasaan di negara ini, kelak tiada lagi tempat yang boleh dianggap sebagai negara untuk didiami.


"Kita mahukan Malaysia yang aman dan stabil. Tegas mempertahankan kesucian agama, tetapi matang dan berakhlak dalam bertindak. Tegas dalam prinsip, adil dalam tindakan dan berakhlak dalam perjuangan.


"Kami Pemuda AMANAH diajar pimpinan agar sentiasa berlembut dan berhemah serta mengambil jalan pendamaian dalam segala situasi.


"Namun itu tidak bermakna kami akan sentiasa berdiam diri, apatah lagi maruah agama dan kepercayaan orang Islam diperlakukan seperti tidak ada nilai," katanya dalam satu kenyataan.


Beliau merujuk kepada insiden seorang pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang didakwa menghina agama dengan memijak al-Quran.


Muhammad Zulhusni berkata, pihaknya memandang serius insiden berkenaan sambil menegaskan sebarang tindakan menghina atau meremehkan kesucian kita agama bukan sahaja melukai hati umat Islam, malah berpotensi menggugat keharmonian negara yang terbina sejak berpuluh tahun dahulu.


Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dalam isu yang menyentuh agama dan ketegasan dalam hal ini akan menjadi ukuran kesungguhan dalam mempertahankan maruah agama Islam dan kestabilan negara.


"Rakyat sedang memerhatikan tindakan kita. Namun dalam masa sama, saya ingin menasihati umat Islam agar tidak membalas penghinaan dengan penghinaan.


"Jangan sesekali bertindak membalas dengan mencaci, menghina atau memijak kitab suci agama lain atau tindakan penghinaan lain sebagai tindak balas emosi.


"Sekiranya siasatan membuktikan wujud unsur penghinaan yang disengajakan, kami mahu tindakan tegas dan setimpal mesti diambil tanpa kompromi," katanya lagi.


Pada 25 Februari lalu, polis menahan seorang penuntut UMPSA bagi membantu siasatan selepas disyaki menghina agama Islam di media sosial dengan memijak al-Quran.


Penuntut berkenaan kemudiannya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan pada 3 Februari lalu dan menurut Jabatan Peguam Negara (AGC), tertuduh akan didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan objek suci, iaitu al-Quran, dengan perbuatan memijaknya yang dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia merupakan satu penghinaan terhadap Islam.


Seksyen itu seperti dilaporkan media tempatan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.


Selain itu, pelajar berkenaan turut akan didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana membuat dan memulakan suatu hantaran komunikasi bersifat jelik melampau dengan niat menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Threads.


Seksyen berkenaan membawa hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page