Cadangan bentang semula RUU mengehadkan tempoh jawatan PM disokong
- Akmal Manaf

- 2 minutes ago
- 2 min read

Cadangan supaya pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri (PM) kepada 10 tahun dibentangkan semula di Dewan Rakyat pada sesi Jun, dialu-alukan.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar) berkata, pembentangan semula pindaan itu bukan satu kewajipan kerana ia telah dibentangkan sebelum ini.
Namun ujarnya jika hal itu dilakukan, semua ahli Dewan Rakyat khususnya dari blok kerajaan diharap dapat menghadirkan diri sekali gus menunjukkan komitmen dalam undian agar reformasi tersebut tidak lagi gagal akibat kecuaian dan ketidakhadiran.
"Perlu ditegaskan bahawa Kerajaan MADANI telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan membentangkan pindaan Perlembagaan ini.
"Oleh itu, tiada kewajipan mutlak untuk Kerajaan MADANI membentangkannya semula, dan kerajaan tidak wajar dipersalahkan atas kegagalan yang berpunca daripada ketidakhadiran serta sikap berkecuali Ahli-Ahli Parlimen tertentu," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pada 2 Mac lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan PM kepada maksimum 10 tahun gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat, sekali gus tidak dapat diluluskan.
Abun Sui bagaimanapun meluahkan rasa kesal terhadap kegagalan pindaan itu yang disifatkannya bukan berpunca daripada kelemahan hujah atau penolakan secara prinsip, sebaliknya disebabkan jumlah kehadiran dan komitmen Ahli Parlimen yang tidak mencukupi, khususnya dalam kalangan penyokong kerajaan.
Beliau menyifatkan, kehadiran dalam undian Perlembagaan merupakan tanggungjawab asas seseorang wakil rakyat dan ia bukan pilihan.
"Rekod undian menunjukkan seramai 146 Ahli Parlimen menyokong, 44 berkecuali, manakala 32 tidak hadir.
"Ini bukan kekalahan tipis, sebaliknya mencerminkan kegagalan mengurus sokongan serta disiplin kehadiran bagi satu undian yang semua sedia maklum memerlukan majoriti dua pertiga.
"Saya juga kecewa dengan mereka yang tidak hadir walaupun sepatutnya hadir dan mengundi menyokong. Kegagalan hadir dalam undian sepenting ini merupakan satu mesej politik, dan mesej tersebut sedang diperhatikan dengan teliti oleh rakyat," ujarnya.
Dalam masa yang sama kata Abun Sui, pihak pembangkang juga tidak wajar meraikan kegagalan berkenaan sedangkan mereka sendiri tidak mengundi untuk menolak.
Katanya, rekod dengan jelas menunjukkan sebahagian besar memilih untuk berkecuali dan bukannya penolakan tegas.
"Secara logiknya, tiada apa yang wajar diraikan kecuali kesepakatan sebulat suara semua Ahli Parlimen dalam menyokong agenda reformasi institusi negara.
"Sejarah akan mencatat detik ini, dan generasi masa depan akan menilai siapa yang benar-benar konsisten, berani dan bertanggungjawab dalam memperjuangkan agenda reformasi institusi negara," kata beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang.




Comments