top of page

DAP cadang tubuh RCI siasat 'mafia korporat', dakwaan dikaitkan SPRM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 22 minutes ago
  • 1 min read

DAP menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat” serta penyalahgunaan institusi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook (gambar) dalam kenyataan berkata Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu yang bermesyuarat semalam telah mengambil perhatian serius terhadap dakwaan yang dilaporkan pihak media, termasuk media asing.


"CEC mengambil perhatian serius terhadap dakwaan sebuah media asing berkenaan kewujudan gejala ‘mafia korporat’ dan institusi SPRM digunakan oleh syarikat tertentu sebagai alat untuk mencapai matlamat kepentingan peribadi.


"Kerajaan perlu menangani isu ini dengan berkesan untuk mempertahankan kewibawaan institusi SPRM melalui penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut dan mencadangkan langkah-langkah untuk mencegah penyalahgunaan kuasa dalam institusi tersebut," katanya.


Dalam pada itu, Loke berkata DAP turut menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri.


Justeru itu, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata DAP menyeru kerajaan membentangkan semula RUU tersebut pada sidang Parlimen akan datang untuk merealisasikan agenda reformasi yang penting ini.


Dalam perkembangan berkaitan, DAP turut menyokong keputusan kerajaan merujuk RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.


"DAP menyokong keputusan kerajaan untuk merujuk RUU Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya ke Jawatankuasa Pilihan Khas dan menyatakan komitmen untuk menambahbaik aspek akauntabiliti dan ketelusan proses pelantikan jawatan tersebut," katanya.


Loke memaklumkan wakil DAP dalam jawatankuasa berkenaan ialah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.


"DAP terus komited untuk mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan tidak berkompromi dalam sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa serta menyokong penuh agenda memerangi rasuah," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page